Kebolehterimaan maklumat daripada tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan
Posted on Thursday, December 20, 2012 by hafiz
Polis : “mana awak barang tu.”
Tertuduh : “saya tak tahu la encik.”
Polis : “baik awak bagitau, kalau awak
bagitau kami janji akan lepaskan awak. Cuma kawan-kawan awak yang kan didakwa.”
Tertuduh : “betulke encik? Barang tu kawan saya
letak ada dekat dalam almari sebelah atas rasanya.”
Sering kita akan dengar dialog
ini sama ada dalam filem yang membabitkan kes jenayah mahupun dalam penyiasatan
pihak polis secara realitinya. Ada di antara tertuduh memberi maklumat seperti
itu setelah pihak polis memberi harapan yang berlebihan mereka, ada juga yang
memberi maklumat ini setelah dipujuk oleh pihak polis atau setelah dipaksa
untuk memberi maklumat kepadanya.
Pihak polis dan pihak pendakwaan
sering menggunakan maklumat yang diberikan oleh tertuduh ini sebagai keterangan
untuk mewujudkan satu kes prima facie dalam kes pendakwaan mereka walaupun
maklumat yang diberikan itu diperoleh setelah memberi satu janji kepada
tertuduh namun tidak pernah menunaikannya. Bagi orang biasa, mungkin mereka
melihat maklumat ini sebagai satu yang boleh diterima oleh mahkamah kerana
mereka tidak mengetahui status maklumat ini dan juga tidak mengetahui bagaimana
maklumat ini diperoleh. Bagi mereka cukuplah ada bukti atau keterangan daripada
tertuduh yang menunjukkan seolah-olah tertuduh memang melakukan kesalahan
jenayah terbabit.
Di sini, mari kita lihat
kedudukan maklumat ini berdasarkan seksyen 27 Akta Keterangan 1950. Mungkin
artikel ini tidak akan menggambarkan secara keseluruhan bagaimana maklumat ini
diterima, namun artikel ini akan memberi sedikit gambaran bagaimana maklumat
sebegini boleh diterima oleh mahkamah atau sebaliknya. Seksyen 27 Akta
Keterangan 1950 memperuntukkan ;
GAMBAR SEKADAR HIASAN. TIADA KENA MENGENA DENGAN SAMA ADA YANG MASIH HIDUP ATAU TELAH MENINGGAL DUNIA
“apabila sesuatu fakta dideposkan
sebagai telah didapati hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang
yang dituduh melakukan kesalahan semasa dalam jagaan pegawai polis, maka sekian
banyak daripada maklumat itu yang jelas berhubungan dengan fakta yang didapati
secara demikian boleh dibuktikan sama ada maklumat itu terjumlah kepada
pengakuan salah atau tidak.”
Berdasarkan seksyen ini, sesuatu
maklumat yang diberi oleh tertuduh sama ada secara sukarela mahupun tidak atau
sama ada merupakan satu pengakuan salah atau tidak, tidak relevan dalam
menetukan keboleterimaannya. Apa yang penting adalah maklumat yang diberikan
itu secara jelas membawa kepada penemuan sesuatu objek akan membolehkan pihak
pendakwaan mengemukakan maklumat terbabit sebagai keterangan di bawah seksyen
27.
Walaupun, Sesuatu maklumat itu
diberi secara sukarela atau tidak, tidak menjadi masalah dalam menerima
keterangan ini dibawah seksyen 27 Akta keterangan, namun mahkamah sering
memberi amaran terhadap pelaksanaan pihak pendakwaan sekyen ini. Pihak mahkamah
masih perlu memastikan kredibiliti maklumat yang diberikan tertuduh ini sebelum
menerimanya di bawah seksyen 27 Akta Keterangan supaya ianya tidak terdedah
kepada penyalahgunaan. Dalam kes Pang Chee Meng v PP [1992] 1 MLJ 137,
Tun Hamid Omar LP, menyatakan;
“We are not suggesting that the
practice by the local police is the same as in India, nevertheless we are
firmly of the view that invoking section 27 the courts should ensure the
credibility of evidence by police personnel in respect of the section, which is
so vulnerable to abuse. In this case the police evidence was unsatisfactory and
created a doubt in the thoroughness of the police investigation.”
Walaupun jika dilihat, pihak
pendakwaan boleh mengemukakan maklumat tertuduh ini sebagai keterangan tanpa
perlu dilihat kepada faktor sukarela atau tidak, mahkamah masih berhati-hati
dalam menerima maklumat ini kerana hanya maklumat yang secara jelas membawa
kepada penemuan sesuatu “fakta” sahaja boleh diterima di bawah seksyen ini.
Dalam kes Shah
Rizan bin Sulong v PP, Mahkamah Rayuan dalam menolak penerimaan
maklumat di bawah seksyen 27 ini, menegaskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah
gagal untuk menyatakan di dalam alasan penghakimannya sama ada beliau menerima maklumat
perayu kepada SP6 dibawah seksyen 27 Akta Keterangan atau di bawah seksyen 37A
Akta Dadah Berbahaya 1952. Hakim Mahkamah Rayuan memetik penghakiman oleh James
Foong HMR di dalam kes Y Jeyamuraly Yesiah v. PP [2007] 5 CLJ 605, dimana James
Foong HMR menyatakan ;
“Tidak
ada apa-apa rujukan sama ada secara langsung atau sebaliknya oleh hakim bicara
di dalam alasan penghakimannya yang menunjukkan bahawa beliau telah
menerima-masuk keterangan berkenaan di bawah seksyen 27 EA. Jika beliau berbuat
demikian, eliau tentu akan membuat satu dapatan positif di dalam alasan
penghakimannya berkaitan maklumat yang diterima yang membawa kepada penemuan
fakta yang dikatakan. Dan untuk mencapai keputusan sedemikian, beliau tentu
akan menyelidik soalan yang ditanyakan oleh pegawai polis yang membawa kepada
maklumat yang didedahkan itu. Ini perlu bagi memastikan bahawa maklumat yang
diterima ada hubungkait dengan soalan yang ditanya. Oleh kerana tiada petunjuk
bahawa langkah berhati-hati sedemikian diambil oleh hakim bicara, maka beliau
tidak menerima keterangan berkenaan melalui seksyen 27 EA.”
Jika dilihat pada penghakiman ini, walaupun
hakim menyatakan tiada sebarang rujukan oleh mahkamah sebelumnya mengenai
penerimaan maklumat di seksyen 27 Akta Keterangan, namun di sebalik keputusan
itu adalah, hakim menegaskan bahawa kegagalan hakim mahkamah sebelum itu untuk
memeriksa sama ada soalan yang ditanyakan oleh pihak polis membawa kepada
maklumat yang didedahkan itu, menyebabkan maklumat itu tidak boleh diterima di
bawah seksyen 27. Ini kerana tidak dibuktikan bawah soalan polis kepada
tertuduh yang membawa kepada maklumat yang didedahkan itu.
Dalam kes ini juga, hakim telah menyatakan
bahawa;
“
Hakim Mahkamah Tinggi telah gagal untuk mengarahkan diri beliau tentang faktor
prejudis atau harapan yang berlebihan (legitimate expectation) yang telah
diberikan oleh SP6 sebagai seorang yang berkuasa. Tidak
dinafikan bahawa tidak wujud keterangan bahawa perayu berada dalam ketakutan
pada masa itu tetapi, pada hemat kami, HMT telah terkhilaf
apabila gagal mengarahkan diri beliau terhadap keadaan minda perayu yang pada
masa itu telah ditangkap dan di bawah tahanan polis.”
Mahkamah rayuan turut memutuskan bahawa
penerimaan maklumat perayu oleh HMT melalui cara yang SP6 gunakan adalah satu
cara yang menindas dan bertentangan
dengan taraf-taraf kewajaran.
Dalam kes, PP lwn. MAZLAN MUSTAFFA, hakim
Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan tertuduh untuk menerima maklumat daripada
tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan atas alasan (1) beliau mendapati keterangan itu telah diperolehi secara
'menindas dan melalui pujukan' dan (2) beliau mencurigai bahawa ayat dalam P43
tersebut adalah perkataan-perkataan atau maklumat daripada tertuduh.
Edgar Joseph Jr SCJ di dalam kes Hasibullah
bin Mohd Ghazali v. Public Prosecutor [1993] 4 CLJ 535, menyatakan bahawa ;
“(5)
Sekalipun diandaikan yang perayu telah membuat pengakuan yang didakwa itu,
Hakim perbicaraan yang bijaksana tersebut telah tersilap apabila memutuskan
bahawa pengakuan tersebut dibuat secara sukarela di mana dalam memutuskan yang
tertuduh mestilah menunjukkan yang dia diletakkan di bawah ketakutan untuk membolehkan
pernyataan tersebut berhasil, Hakim yang bijaksana tersebut telah
menterbalikkan beban membukti dan tidak memperdulikan keperluan bahawa pihak
pendakwa perlu membuktikan di luar keraguan yang munasabah bahawa pengakuan
tersebut
adalah dibuat secara sukarela.
(6)
Dalam memutuskan sama ada atau tidak sesuatu pernyataan yang dibuat oleh
seseorang tertuduh diperolehi daripadanya sama ada secara ketakutan atau
prejudis atau harapan kelebihan diamalkan atau diberikan oleh seseorang yang
berkuasa, yang penting sekali ialah keadaan minda tertuduh. Hakim yang
bijaksana tersebut dalam memutuskan bahawa perayu tidak berada dalam ketakutan
yang sepertinya yang dikecualikan oleh undang-undang daripada menerima
pernyataannya, telah mengecualikan daripada pertimbangan beliau akan keadaan
minda perayu dari segala kelemahan dan ketabahan dan sebaliknya menghadkan
tumpuan beliau kepada niat Giam.”
Jadi, bagaimana maklumat yang diberikan oleh
tertuduh boleh diterima sebagai keterangan di bawah seksyen 27 Akta Keterangan?
Dalam kes Shah Rizan bin Sulong v PP, mahkamah rayuan telah menetapkan
beberapa prayarat kepada pihak pendakwaan sebelum menerima maklumat yang
diberikan oleh tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950. Antara syarat
yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan adalah;
1)
Membuktikan perkataan sebenar soalan yang diutarakan
oleh pihak polis kepada pesalah,
2)
Membuktikan jawapan sebenar pesalah yang diberikan
kepada pihak polis.
Dalam kes PP lwn. MAZLAN MUSTAFFA, mahkamah rayuan telah menyatakan
bahawa;
“Adalah suatu prinsip
undang-undang yang mantap bahawa untuk bergantung kepada maklumat di bawah s.
27 Akta Keterangan, pernyataan itu mestilah dibuat oleh tertuduh sendiri dalam
bahasanya sendiri. Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh tertuduh haruslah
dibuktikan dengan tegasnya dan tidak seharusnya diubah dengan kata-kata lain.”
Berdasarkan dua kes di atas, secara jelas
untuk menerima maklumat yang diberikan oleh tertuduh, pihak pendakwaan perlu
memastikan bahawa penyataan yang dibuat adalah penyataan yang dibuat sendiri
oleh tertuduh dan tidak ditambah oleh pihak polis atau pihak pendakwaan.
Kegagalan pihak pendakwaan untuk membuktikan
penyataan yang dibuat adalah penyataan yang dibuat oleh tertuduh akan
menyebabkan maklumat terbabit tidak boleh diterima di bawah seksyen 27 Akta
Keterangan 1950. Ini dapat dilihat dalam penghakiman oleh Gopal Sri Ram HMR
dalam kes Hasamudin Talena v PP [2002]
2 CLJ 504 di mana hakim memutuskan bahawa;
“yang
diperkatakan telah dibuat oleh perayu ketika beliau disoal siasat dan ditempat
di mana dadah tersebut dijumpa masing-masingnya telah tidak dituliskan sebaik
sahaja ianya boleh dipraktikkan. Berhubung kenyataan pertama, tidak terdapat
sebarang alasan bagi kegagalan interogator untuk mencatatkan soalan-soalan yang
dikemukakan dan jawapan-jawapan yang diterima daripada perayu sama ada ketika
disoal siasat atau sejurus selepas itu. Berhubung kenyataan kedua, interogator
tersebut sepatutnya telah mencatatkannya secara bertulis dalam diari beliau
sebaik sahaja beliau kembali daripada tempat jenayah. Pensabitan perayu yang berdasarkan
kepada kedua-dua kenyataan ini, adalah dengan itu sesungguhnya tidak selamat.”
Berdasarkan huraian yang dibuat di atas, dapat
disimpulkan bahawa untuk memastikan maklumat yang diperoleh daripada tertuduh
boleh diterima di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950, beberapa perkara perlu
dipenuhi oleh pihak pendakwaan iaitu;
1)
Membuktikan perkataan sebenar soalan yang diutarakan
kepada tertuduh,
2)
Membuktikan perkataan sebenar jawapan yang diberikan
tertuduh kepada pihak polis,
3)
Maklumat tidak diperoleh dengan cara menindas,
4)
Maklumat perlu diperolehi dengan tidak melampaui
taraf-taraf kewajaran.
Semoga artikel ini dapat membantu masyarakat
memahami mengapa sesuatu maklumat yang diberi oleh tertuduh tidak boleh
mensabitkan tertuduh dengan kesalahan walaupun ianya seolah-olah menunjukkan
tertuduh telah melakukannya. Semoga informasi ini dapat memberi pemahaman
kepada masyarakat supaya tidak bersikap
prejudis terhadap sebarang penghakiman yang diberikan oleh mahkamah dan supaya
pihak polis lebih berhati-hati dalam mendapatkan maklumat daripada tertuduh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 Response to "Kebolehterimaan maklumat daripada tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan"
Very good article. I.O should read this.
Thank you. Read S27 many times but failed to understand until I read this article.
Respect and that i have a tremendous offer you: Who Does Renovations house renovation ideas
Leave A Reply