Welcome to Prima Facie Blog! Flying Bat

Kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan Malaysia


Kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan Malaysia


Seksyen 114A telah mencetuskan kontroversi terhadap perundangan Malaysia. Merujuk kepada Akta  Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012, akta induk dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 114 seksyen 114A:

 ------------------------------------------------------------------------------
 “Presumption of fact in publication”

114A. (1) A person whose name, photograph or pseudonym appears on any publication depicting himself as the owner, host, administrator, editor or sub-editor, or who in any manner facilitates to publish or re-publish the publication is presumed to have published or re-published the contents of the publication unless the contrary is proved.

(2) A person who is registered with a network service provider as a subscriber of a network service on which any publication originates from is presumed to be the person who published or re-published the publication unless the contrary is proved.

(3) Any person who has in his custody or control any computer on which any publication originates from is presumed to have published or re-published the content of the publication unless the contrary is proved.

(4) For the purpose of this section—

(a) “network service” and “network service provider” have the meaning assigned to them in section 6 of the Communications and Multimedia Act 1998 [Act 588]; and
(b) “publication” means a statement or a representation, whether in written, printed, pictorial, film, graphical, acoustic or other form displayed on the screen of a computer.”.

------------------------------------------------------------------------------ 

Niat penggubal memasukkan Seksyen 114A bertujuan untuk ke dalam Akta 56 untuk mengadakan peruntukan bagi anggapan fakta dalam penyiaran untuk memudahkan pengenalan dan pembuktian identiti seseorang yang namanya tidak diketahui yang terlibat dalam penyiaran melalui internet.

Namun, seksyen ini telah mendapat tentangan hebat daripada masyarakat umum. Isu seperti akaun perkhidmatan rangkaian media sosial (Social Networking Service – SNS) yang mudah diceroboh oleh penggodam internet telah menyebabkan kebimbangan kepada masyarakat umum terhadap cara penguatkuasaan seksyen 114A itu sendiri yang bakal menyaksikan orang awam yang tidak bersalah menjadi mangsanya. Penyedia Perkhidmatan Internet dan rangkaian juga berdepan risiko apabila seksyen 114A ini berkuat kuasa sekiranya penjenayah yang sebenar tidak dapat dikesan. 

Perbincangan ini berfokuskan pada 2 perspektif, iaitu pandangan umum sebagai orang biasa (layman) dan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) serta dari sudut kerajaan sebagai penggubal undang-undang.


Signifikan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 (Perspektif Kerajaan Sebagai Penggubal Undang-Undang)



Seperti yang dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia pada 19/04/2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2012 berkata, penggunaan nama samaran ataupun ketanpanamaan oleh mana-mana pihak untuk melakukan jenayah siber menyukarkan tindakan diambil terhadap mereka. Justeru, Akta Keterangan 1950 perlu dipinda bagi menangani isu ketanpanamaan internet. Penggunaan nama samaran (oleh mana-mana pihak) amat menyukarkan pihak pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan kerana amat sukar untuk mendapatkan keterangan daripada nama samaran. Akta Keterangan terpaksa dipinda supaya dapat mendakwa dan mentaksirkan kesalahan kepada mereka yang menggunakan nama samaran. Penggunaan internet membolehkan sesiapa sahaja menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ini menjadikan masalah ketanpanamaan pelaku kesalahan jenayah satu halangan paling besar dalam menangani jenayah siber dilakukan melalui internet seperti menghasut, menipu, menghina mahkamah, menceroboh dan mencuri maklumat. Hal ini kerana pelbagai teknik digunakan oleh penjenayah untuk menyembunyikan identiti dan ada kalanya mustahil untuk menentukan punca sebenar sesuatu e-mel atau komunikasi elektronik yang lain. Penyelesaian bagi masalah ini ialah dengan mengalihkan tumpuan kepada pihak lain yang boleh dikenal pasti seperti pemilik komputer, pemilik alamat IP, pemilik alamat e-mel dan pemilik kelengkapan dan peralatan yang daripadanya kesalahan jenayah dilakukan, dan mengenakan anggapan liabiliti ke atas mereka tanpa mengira bahawa penglibatan mereka adalah secara langsung atau tidak langsung. Justeru, tujuan peruntukan anggapan berasaskan owner-onus principle adalah untuk meringankan beban pembuktian berhubung dengan fakta tertentu. Bagaimanapun, pihak pendakwa raya yang ingin bersandar kepada peruntukan anggapan mesti membuktikan terlebih dahulu kewujudan fakta-fakta tertentu sebelum anggapan boleh dibuat terhadap seseorang.

Pindaan pada Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkan pindaan pada Fasal 2 yang bertujuan menggantikan tarif komputer dengan takrif komputer yang baru yang lebih komprehensif dan selaras dengan takrif komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997. Sementara itu, Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut memperuntukkan supaya memasukkan seksyen baru 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet.


Kebimbangan Pihak Bertanggungan Secara Tidak Langsung – Masyarakat Umum & Penyedia Perkhidmatan Internet.

“Penggunaan internet membolehkan sesiapa sahaja menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ini menjadikan masalah ketanpanamaan pelaku kesalahan jenayah satu halangan paling besar dalam menangani jenayah siber dilakukan melalui internet seperti menghasut, menipu, menghina mahkamah, menceroboh dan mencuri maklumat. Hal ini kerana pelbagai teknik digunakan oleh penjenayah untuk menyembunyikan identiti dan ada kalanya mustahil untuk menentukan punca sebenar sesuatu e-mel atau komunikasi elektronik yang lain. Penyelesaian bagi masalah ini ialah dengan mengalihkan tumpuan kepada pihak lain yang boleh dikenal pasti seperti pemilik komputer, pemilik alamat IP, pemilik alamat e-mel dan pemilik kelengkapan dan peralatan yang daripadanya kesalahan jenayah dilakukan, dan mengenakan anggapan liabiliti ke atas mereka tanpa mengira bahawa penglibatan mereka adalah secara langsung atau tidak langsung.”

(Petikan kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz)
Utusan Malaysia 19 April 2012


Petikan kata-kata di atas sengaja dipetik bagi menggambarkan bagaimana kerisauan yang melanda apabila seksyen 114A ini berkuat kuasa. Bukan hanya orang awam mendapat tempiasnya, malahan pihak-pihak berkepentingan secara tidak langsung seperti pihak penyedia perkhidmatan rangkaian dan media sosial turut terlibat. Sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang perbincangan mengenai pengecualian khusus terhadap pemakaian seksyen 114A ini.

Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950 mencetuskan kontroversi kerana pindaan terbaru ini meletakkan beban pembuktian kesalahan kepada pihak yang dituduh dan bukannya pihak yang menuduh. Sebagai contoh, jika seseorang menyamar sebagai A dan melakukan kesalahan di internet, A bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Undang-undang yang baru ini jelas bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya. Pindaan yang baru ini boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada seluruh pengguna internet dan pihak yang terlibat dalam industri tersebut. Sesiapa sahaja yang memiliki akaun Facebook, Twitter, blog atau forum akan dipertanggungjawabkan atas setiap isi kandungan yang terdapat di laman-laman tersebut termasuk komen dan artikel yang ditulis oleh pihak lain. Malahan, pihak Penyedia Perkhidmatan Internet juga turut terheret sama dalam kancah pemasalahan ini.



Realitinya, pengesanan pengguna akhir yang melakukan jenayah siber amat sukar dan mahal kerana teknologi terkini seperti “spoofing” (iaitu melibatkan alamat protokol Internet palsu ataupun penggunaan pihak yang tidak dikenali untuk menghantar bahan) menyebabkan sukar untuk mengesan pihak yang melakukan pelanggaran hakcipta. Namun, pihak penguatkuasa pastinya berusaha menuntut keadilan dengan membawa tindakan terhadap pihak yang membiarkan terjadinya jenayah siber satu kemungkinan dibawah teori tanggungan sekunder seperti penyedia perkhidmatan yang telah lama diaplikasikan dalam kes pelanggaran hakcipta.  Tanggungan ini dirintis menerusi kes A&M Records Inc v Napster Inc yang didapati bersalah kerana menyumbang terhadap pelanggaran hakcipta oleh penggunanya yang berkongsi fail menerusi teknologi rangkaian peer-to-peer (P2P).

Pemahaman mengenai proses yang berlaku semasa pemindahan maklumat adalah amat perlu bagi menentukan pihak yang bertanggungan bagi pelakuan jenayah siber. Menerusi proses transaksi berasaskan Internet, permintaan menerusi sistem komputer yang dilakukan oleh pengguna akan dihantar terus ke perkakasan penyedia perkhidmatan Internet (ISP). Kemudian, perisian akan menjana arahan bagi melakukan penyalinan yang seperti yang dikehendaki oleh pengguna. Proses transaksi adalah seperti berikut:





Apa yang menimbulkan persoalan di sini adalah sama ada proses yang berlaku ini menunjukkan para pengguna mengawal perisian yang beroperasi dalam sistem ISP dan bertanggungjawab dengan pemindahan ataupun pemindahan yang dioperasikan oleh perisian yang berada dalam milikan dan kawalan sepenuhnya ISP membolehkan ISP bertanggungjawab atas pemindahan yang berlaku.

Disebabkan pengesanan pengguna akhir yang melakukan jenayah siber merupakan sesuatu yang sukar dan mahal, maka menerusi interpretasi sempit terhadap seksyen 114A pihak penguatkuasa pastinya bakal mengambil langkah mudah mengambil tindakan terhadap ISP dan hal ini tidak memberikan keadilan mutlak kepada ISP. Persoalannya sekarang, pihak manakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap jenayah siber yang berlaku disebabkan pihak lain dan sekiranya bertanggungan, apakah dalihan yang boleh digunakan untuk mengelakkan daripada tanggungan perundangan?


Tanggungan ISP Menurut Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Pemberi perkhidmatan capaian Internet di Malaysia merupakan operator berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (CMA) dan lesen yang diberikan tertakluk kepada syarat yang mesti dipenuhi. Aktiviti penyedia perkhidmatan juga tertakluk pada peruntukan dalam CMA. Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) memerlukan pemberi perkhidmatan capaian Internet “mematuhi dan menyertakan syarat dan peraturan di dalam kontrak dan notis undang-undang mengenai syarat-syarat penggunaan dengan pelanggan-pelanggan perkhidmatan mereka” (Bahagian 5 perkara 7.1). Syarat-syarat tersebut termasuklah (a) Pelanggan mestilah mematuhi keperluan-keperluan yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia termasuklah, tetapi tidak terhad kepada Kod ini dan mestilah tidak mengandungi kandungan yang dilarang atau kandungan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia; (b) pemberi perkhidmatan capaian Internet berhak menarik balik capaian jika seseorang pelanggan yang melanggar perkara yang dinyatakan dalam (a); dan (c) pemberi perkhidmatan capaian Internet mestilah mempunyai hak untuk menyekat capaian atau membuang Kandungan yang dilarang dengan syarat sekatan atau penyingkiran tersebut mengikut tatacara aduan yang terdapat didalam Kod ini”.

Di dalam CMCF juga ada dinyatakan mengenai pemberi hos kandungan Internet. Pemberi hos kandungan Internet ditafsirkan sebagai pembekal yang hanya memberi capaian kepada kandungan yang bukan dihasilkan ataupun dikumpul sendiri tetapi dimuatkan di tapak kemudahannya. Melihat kepada tafsiran ini serta tafsiran liberal dalam seksyen 114A Akta keterangan 1950, Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) berdepan risiko besar untuk diambil tindakan undang-undang kerana menerusi CMCF dan seksyen 114A, tafsiran luas telah diberikan terhadap pengumpulan kandungan di tapak kemudahannya. Secara tidak langsung, ISP akan dikira sebagai penyumbang kepada berlakunya jenayah siber sekiranya pihak penguatkuasa gagal mengesan pelaku jenayah sebenarnya.

            Pemberi Hos Kandungan Internet (PHKI) ialah orang yang hanya berupaya menyediakan laluan kepada kandungan yang bukan dicipta atau dikumpul sendiri, tetapi mempunyai perkhidmatan kemudahan hos di tapak kemudahahnnya sendiri. PHKI mestilah menyertakan syarat dan peraturan dalam kontrak dan notis undang-undang mengenai syarat-syarat penggunaan kepada pengguna dan pelanggan perkhidmatan yang disediakan. Syarat-syaratnya adalah;

(a)        Pengguna dan pelanggan mestilah mematuhi keperluan di dalam undang-undang Malaysia termasuklah (tetapi tidak terhad kepada) Kod ini dan tidak menyediakan kandungan yang dilarang atau apa jua kandungan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia;

(b)        PHKI mempunyai hak untuk menarik balik perkhidmatan hos dalam keadaan di mana pengguna atau pelanggan melanggar syarat (a) di atas; dan

(c)        PHKI mempunyai hak untuk menyingkirkan sebarang kandungan yang dilarang dengan syarat penyingkiran tersebut selaras dengan tatacara aduan yang terkandung dalam Kod.

Apabila Biro Aduan memberitahu PHKI bahawa pengguna atau pelanggannya memuat naik kandungan yang dilarang, dan PHKI berjaya mengenal pasti pelakunya, PHKI harus mengambil langkah yang berikut:

(a)        Dalam tempoh dua (2) hari bekerja dari tarikh pemberitahuan, maklumkan kepada pengguna atau pelanggan supaya mengeluarkan kandungan yang dilarang tersebut.
(b)        Menetapkan jangka masa membolehkan pelanggan menyingkirkan kandungan yang dilarang iaitu diantara 1 hingga 24 jam dari masa notis pemberitahuan.
(c)        Jika pelanggan tidak menyingkirkan kandungan yang dilarang dalam jangkamasa yang ditetapkan, PHKI mempunyai hak untuk untuk membuang kandungan tersebut.

Melalui seksyen 98 (2) CMA “Pematuhan suatu kod industri sukarela berdaftar hendaklah menjadi suatu pembelaan terhadap apa-apa pendakwaan, tindakan atau prosiding daripada apa-apa jenis, sama ada dalam mahkamah atau selainnya, yang diambil terhadap seseorang (yang tertakluk kepada kod industri sukarela itu) berkenaan dengan suatu perkara yang diperkatakan dalam kod itu”.  Isu mengenai penyiaran bahan yang menjurus kepada jenayah siber atau kandungan yang dianggap sebagai “kandungan yang dilarang atau kandungan yang bertentangan dengan perundangan Malaysia” merupakan perkara yang perlu ditafsir. Jika ia dianggap sedemikian dan penyedia perkhidmatan akses Internet mengeluarkan akses kepada pengguna atau menyekat akses kepada atau menghapuskan kandungan tertentu, objektif bagi menangani jenayah siber akan tercapai. Apakah jika penyedia perkhidmatan akses Internet menolak atas alasan bahawa ia bukannya tribunal penghakiman untuk menentukan sama ada kandungan yang dibuat aduan memang menjurus kepada pelakuan jenayah siber?


Rumusan

Penggubalan seksyen 114A Akta Keterangan Malaysia dilihat usaha positif kerajaan bagi menangani jenayah siber yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Namun begitu, sesuatu yang baru pastinya ada lacuna atau kelompangannya. Penulis mencadangkan agar tafsiran terhadap seksyen 114A perlu dilihat secara liberal yakni seksyen 114A ini perlu dibaca sekali dengan peruntukan-peruntukan lain yang telah berkuat kuasa serta mantap dari segi pelaksanaannya. Sebagai contoh, seksyen 114A perlu dibaca sekali dengan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang melibatkan juga kepentingan Penyedia Perkhidmatan Internet. Seksyen 114A ini dilihat terlalu umum sehingga sampai ke satu tahap pihak yang tidak bersalah juga turut diambil tindakan. Pengalihan tanggungan liabiliti kepada pihak yang secara tidak langsung terbabit dengan pelakuan jenayah siber sebenarnya mencetuskan ketidakjelasan terhadap penguatkuasaan peruntukan seksyen ini. 

            Pengaplikasian konsep “Take Down Notice” yang diaplikasikan dalam perundangan di Amerika Syarikat dalam menyekat kandungan internet yang menyalahi perundangan boleh diambil kira sebagai cadangan penambahbaikan. Satu badan yang memantau kandungan internet (sebagai contoh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia – SKMM) selepas mendapat aduan orang awam perlu memaklumkan kepada pihak yang terlibat tentang penyiaran bahan pelanggaran perundangan yang berlaku di akaun blog / laman mereka. Sekiranya bahan tersebut masih ada, maka di sini barulah tindakan perundangan boleh diambil kepada pemilik blog, pihak yang membuat penyiaran tersebut. Mekanisme ini dilihat lebih wajar dan praktikal untuk dilakukan di Malaysia. 




             Pengalihan tanggungan liabiliti terhadap pihak yang secara tidak langsung terbabit dengan apa-apa penyiaran yang menjurus kepada pelakuan jenayah siber seharusnya perlu ada batasan criteria pihak yang bertanggungan. Penggunaan konsep “semua pihak bertanggungan” perlu dilihat dari sudut realiti. Manusia pastinya akan sering kali terlepas pandang dalam sesuatu hal atau tidak dapat mengawal semua perkara dalam satu-satu masa yang di luar jangkauan kita. Sebagai contoh, komen seseorang blogger terhadap sesuatu post dalam blog kita. Sekiranya komen blogger tersebut berbaur hasutan dan pengesanan blogger yang membuat komen tersebut gagal, menurut seksyen 114A, kitalah pihak yang bertanggungan. Di sini, pengawalan terhadap komen blogger mungkin mudah dilakukan sekiranya komen yang dibuat tidak banyak, namun sekiranya banyak komen diberikan, adakah kita sebagai pemilik blog tersebut dapat menjamin tidak akan terlepas pandang terhadap komen yang berbaur hasutan tersebut? Kesemuanya berbalik kepada pengaplikasian secara realiti dalam keadaan semasa. Pemilik blog sebagai pihak bona fide seharusnya tidak diletakkan beban pembuktian bahawa dia bersalah. Perkara mengenai pengalihan tanggungan liabiliti dan beban pembuktian perlu dilihat secara saksama. Mekanisme pelaksanaan perlu dilakukan secara rasional dan bukan hanya bersandarkan kepada aspek teknikal sahaja kerana kegagalan mengaplikasikan dalam situasi dunia sebenar menyebabkan ramai pihak yang tidak bersalah menjadi mangsa dan sekali gus obektif perundangan untuk memberikan keadilan sejagat tidak terlaksana.


(Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis)