Welcome to Prima Facie Blog! Flying Bat

Keterangan Dengar Cakap dan Kebolehterimaannya di Mahkamah

Posted on Sunday, December 09, 2012 by Unknown


Tajuk di atas bukanlah satu tajuk novel mahupun cerpen 15 minit yang banyak dipaparkan di alam maya ini, namun ianya adalah kesinambungan daripada posting pertama saya mengenai ‘hearsay evidence’. Sebagai rujukan kepada para pembaca, boleh merujuk pada posting saya di http://primafaciejourney.blogspot.com/2012/11/to-what-point-does-court-allows-hearsay.html

Kali ini saya ingin berkongsi sebuah kes yang mempunyai unsur keterangan dengar cakap ataupun hearsay evidence di dalamnya. Tujuan mengemukakan keterangan dengar cakap ini juga penting untuk dibincangkan bagi menentukan keadaan satu-satu keterangan dengar cakap tersebut untuk diterima di mahkamah. Persoalan mengenai adakah keterangan tersebut akan dikemukakan sebagai satu kebenaran (truth purpose) atau sebagai satu kenyataan menyokong (corroborative statement) akan turut dibincangkan dalam posting ini. Oleh yang demikian, kes yang ingin saya kongsikan di sini adalah kes yang dilaporkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Kes ini direkodkan sebagai kes 1996 1 MLJ 89. Kes ini merupakan sebuah kes kesalahan jenayah dan kes tersebut adalah PP v Tan Kok An.



Fakta dalam kes ini ialah pihak polis telah menangkap seorang yang bernama Lim Jin Kue (‘Lim’) atas kesalahan memiliki heroin. Lim telah memberitahu polis semasa disoal siasat bahawa heroin tersebut telah diperolehi daripada seorang yang bernama ‘Ah An’. Lim kemudiannya menelefon Ah An dalam kehadiran pihak polis, dan dia berlagak bahawa dia ingin membeli heroin. Dia juga meminta Ah An supaya menghantar heroin tersebut ke rumahnya (‘perbualan telefon tersebut’). Pada malam itu juga, tertuduh datang ke rumah Lim.

Tertuduh, yang telah dikenali oleh Lim sebagai Ah An, membawa sebuah beg plastik bersamanya. Pihak polis menangkap tertuduh dan menjumpai sebuah bungkusan suratkhabar yang mengandungi heroin dalam bag itu. Tertuduh kemudiannya telah dituduh mengedar heroin di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘Akta tersebut’). Semasa perbicaraan, pihak pendakwa tidak memanggil Lim untuk memberi keterangan walaupun Lim hadir. Keterangan perbualan telefon tersebut antara Lim dan Ah An telah dikemukakan oleh pihak pendakwa melalui pegawai-pegawai polis yang telah diberitahu isi kandungannya oleh Lim.

Walau bagaimanapun, pihak pembela tidak membantah terhadap kebolehterimaan perbualan telefon tersebut. Apabila pembelaan tertuduh dipanggil, tertuduh telah mendakwa bahawa dia merupakan seorang pembawa beg yang tidak bersalah, kerana dia telah diminta oleh seorang yang bernama ‘Gay Au’ untuk menghantar duit kepada Lim. Pemeriksaan balas pihak pendakwa ke atas tertuduh telah menunjukkan penglibatan seorang yang bernama ‘Sow Kiong’ buat kali pertamanya. Pihak pembela juga memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan bahawa dia terdengar Gay Au meminta tertuduh supaya menghantar duit kepada Lim. Isu penting yang harus dipertimbangkan oleh mahkamah ialah sama ada keterangan pegawai polis berkenaan dengan perbualan telefon tersebut boleh diterima.

Seterusnya, mahkamah memutuskan bahawa walaupun pembelaan tidak membantah terhadap kebolehterimaan perbualan telefon tersebut, apa yang tidak boleh diterima tidak boleh menjadi boleh terima akibat kegagalan untuk membantah . Hal ini kerana, sesuatu kenyataan yang dibuat oleh seseorang yang tidak dipanggil sebagai saksi tidak boleh diterima untuk membukti kebenaran fakta yang dinyatakan itu. Oleh kerana tujuan pihak pendakwa mengemukakan perbualan telefon adalah semata-mata untuk membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan berkenaan dengan heroin tersebut, dan bahawa tertuduh juga dikenali sebagai Ah An, keterangan perbualan telefon tersebut merupakan keterangan dengar cakap. Oleh itu, ia tidak boleh diterima

Dalam kes ini, Lim merupakan seorang saksi terpenting yang boleh mengaitkan tertuduh dengan heroin. Oleh kerana Lim yang dapat memberi keterangan mengenai keseluruhan kejadian secara langsung tidak dipanggil oleh pihak pendakwa, adalah wajar untuk mahkamah membuat suatu inferens yang memudaratkan (adverse inference)  kes pendakwaan di bawah s 114(g) Akta Keterangan 1950. Sekiranya  soalan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa tentang peranan Sow Kiong diperiksa, maka adalah jelaslah bahawa dia juga memainkan peranan yang penting dalam pembentangan kes pendakwaan. 

Oleh yang demikian, adalah tidak salah jika mahkamah membuat suatu inferens yang memudaratkan kes pendakwaan kerana pihak pendakwa boleh mengemukakan keterangan yang lebih baik, tetapi enggan berbuat demikian. Doktrin ‘kebutaan sengaja’ (‘wilful blindness’) harus digunakan dengan ketatnya apabila soalan pengetahuan dipertimbangkan. Untuk membuktikan doktrin tersebut digunakan dengan berjayanya, inferens yang relevan harus dibuat daripada semua fakta dan keadaan sesuatu kes itu, dan perhatian yang sewajarnya harus diberi, di mana perlu, kepada kebolehpercayaan saksi. Di mana kes pendakwaan adalah amat kuat, doktrin ‘kebutaan sengaja’ seharusnya gagal. Oleh yang demikian, Tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah tentang kebersalahan beliau. Keterangan pembelaan juga telah mematahkan anggapan statutori di bawah s 37(d) dan (da) Akta tersebut. Seterusnya, Mahkamah telah membebas dan melepaskan tertuduh. Oleh yang demikian maka jelas dalam hal ini bahawa pihak pendakwaan sepatutnya meletakkan Lim sebagai saksi yang boleh memberi keterangan terhadap perbualan telefon tersebut dan bukannya melalui pegawai-pegawai polis yang telah diberitahu isi kandungannya oleh Lim. Oleh yang demikian, keterangan pihak polis tersebut hanyalah berstatuskan keterangan dengar cakap dan tidak boleh diterima di mahkamah.



Mendiang Una Angelia Oliveiro


Esma Faizul yang merasa bersalah terhadap kejadian dan mengaku di hadapan kekasihnya :'( 
Fazli 


Siapakah gerangan wanita di atas ? Bagi mereka yang pernah menonton sitkom Kipas Anggun sekitar tahun 1990-an mungkin anda mengenali wanita ini. Mendiang adalah Una Angelia Oliveiro, 44 juga merupakan penerbit untuk drama "Kipas Anggun" yang disiarkan di TV2 setiap Jumaat. Wanita di atas merupakan rakyat Singapura yang dipercayai dibunuh oleh dua orang iaitu, seorang pengangur dan seorang jurusolek artis. Punca pembunuhan tidak diketahui. Penangkapan suspek dibuat apabila salah seorang dari mereka mengakui telah membunuh mendiang kepada teman wanitanya. 

Apakah kaitan kes pembunuhan wanita anggun ini dengan posting saya ? Baiklah, untuk perkongsian semua, saya ingin berkongsi kisah pembunuhan menyayat hati ini yang turut terselit elemen keterangan dengar cakap yang dikemukakan di mahkamah. Persoalan sama ada pengakuan yang diberikan oleh tertuduh kepada teman wanitanya merupakan keterangan dengar cakap atau sebaliknya adalah persoalan yang akan dibincangkan dalam kes ini. Tertuduh adalah Mohd. Fazli dan Esma Faizul yang telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Oliveiro pada pukul 11.15 pagi, 14 November 2001 di rumah banglo mangsa di No. 20, Jalan Bukit Traves di Brickfields . Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Apandi Ali ke atas Mohd. Fazli Ismail, 27, dan Esma Faizul Zainul Nor, 38. 

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz telah mengemukakan 20 saksi pendakwaan. Manakala, Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Esma Faizul dan Mohd. Fazli yang diwakili peguam Zamri Ibrahim mengemukakan empat saksi termasuk tertuduh. Hakim Mohamed Apandi dalam penghakimannya berkata, pada asasnya pembelaan kedua- dua tertuduh hanya penafian semata-mata dan tidak berupaya menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Tertuduh menafikan sebarang penglibatan dan fakta yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan itu kecuali fakta mengenai mereka pergi bersama-sama ke rumah mangsa kononnya untuk menghantar kad jemputan kahwin, yang mana pada ketika itu identiti mangsa serta tertuduh kedua, Esma Faizul dikenali oleh mangsa. 

Hakim Mohamed Apandi turut meneliti pengakuan yang dibuat oleh Esma Faizul kepada teman wanitanya iaitu saksi pendakwa ke-10, Siti Sarah Ismail. Menurut hakim, pengakuan seperti itu adalah suatu pengecualian kepada keterangan dengar cakap dan boleh diterima sebagai keterangan di bawah peruntukkan Seksyen 17(2) Akta Keterangan 1950. Beliau menjelaskan bahawa pengakuan tersebut adalah keterangan substantive yang berkaitan fakta yang diakui dan terdapat juga undang-undang yang mengatakan sesuatu pengakuan itu adalah suatu keterangan yang terbaik walaupun ia mengandungi kenyataan yang melepaskan (exculpatory statement). Menurut, Hakim Mohamed Apandi lagi, selagi pengakuan itu menunjukkan penglibatan kesalahan oleh seseorang tertuduh maka keterangan itu masih boleh diterima sebagai pengakuan.Selain itu, Hakim Mohamed Apandi mendapati semua keterangan saksi pendakwaan boleh dipercayai dan tiada sebab bagi mahkamah untuk tidak menerimanya.

Hal ini kerana, keterangan terbaik adalah pengakuan tertuduh yang disokong oleh fakta-fakta lain. Ia memberikan kekuatan kepada pengakuan kerana dibuat pada hari yang sama beberapa jam selepas kejadian bahawa mereka telah membunuh seorang wanita yang pernah berlakon dalam drama Melayu, Kipas Anggun. Hakim pada akhir prosiding turut memberitahu tertuduh: ''Hukuman ini bukan berakhir di sini, masih banyak peringkat lagi yang perlu dilalui. Hanya Tuhan yang dapat menentukan masa depan kamu berdua.''Jelas dalam kes ini, keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan terhadap pengakuan yang diberikan tertuduh adalah satu keterangan dengar cakap yang dikecualikan kerana ianya berkait rapat dengan kejadian tersebut dan merupakan keterangan substantive dengan fakta kejadian pembunuhan tersebut. Hakim Mohamed Apandi dalam kes ini telah menggunakan pendekatan yang liberal terhadap keterangan dengar cakap yang mana turut mngandungi elemen res gestae terhadap fakta yang terbentuk daripada satu transaksi kejadian yang sama yang dinyatakan dalam Seksyen 6 Akta Keterangan 1950. Elemen ini merupakan elemen menarik yang mana ianya merupakan satu pengecualian kepada keterangan dengar cakap. Tajuk ini akan saya bincangkan di posting yang akan datang InsyaAllah J akhir kata, jangan lakukan jenayah dan selalu ingatkan kematian.......










No Response to "Keterangan Dengar Cakap dan Kebolehterimaannya di Mahkamah"

Leave A Reply