Kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan Malaysia
Posted on Tuesday, January 01, 2013 by Fairul Izwan @ iwan
Kontroversi Seksyen
114A Akta Keterangan Malaysia
Seksyen
114A telah mencetuskan kontroversi terhadap perundangan Malaysia. Merujuk
kepada Akta Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012, akta induk dipinda dengan
memasukkan selepas seksyen 114 seksyen 114A:
------------------------------------------------------------------------------
“Presumption
of fact in publication”
114A. (1) A person whose
name, photograph or pseudonym appears on any publication depicting himself as
the owner, host, administrator, editor or sub-editor, or who in any manner
facilitates to publish or re-publish the publication is presumed to have published
or re-published the contents of the publication unless the contrary is proved.
(2)
A person who is registered with a network service provider as a subscriber of a
network service on which any publication originates from is presumed to be the
person who published or re-published the publication unless the contrary is
proved.
(3)
Any person who has in his custody or control any computer on which any
publication originates from is presumed to have published or re-published the
content of the publication unless the contrary is proved.
(4)
For the purpose of this section—
(a)
“network service” and “network service provider” have the meaning assigned to
them in section 6 of the Communications and Multimedia Act 1998 [Act 588]; and
(b)
“publication” means a statement or a representation, whether in written,
printed, pictorial, film, graphical, acoustic or other form displayed on the
screen of a computer.”.
------------------------------------------------------------------------------
Niat penggubal memasukkan Seksyen 114A bertujuan
untuk ke dalam Akta 56 untuk mengadakan peruntukan bagi anggapan fakta dalam
penyiaran untuk memudahkan pengenalan dan pembuktian identiti seseorang yang
namanya tidak diketahui yang terlibat dalam penyiaran melalui internet.
Namun, seksyen ini telah mendapat tentangan hebat
daripada masyarakat umum. Isu seperti akaun perkhidmatan rangkaian media sosial
(Social
Networking Service – SNS) yang mudah diceroboh oleh penggodam internet
telah menyebabkan kebimbangan kepada masyarakat umum terhadap cara
penguatkuasaan seksyen 114A itu sendiri yang bakal menyaksikan orang awam yang
tidak bersalah menjadi mangsanya. Penyedia Perkhidmatan Internet dan rangkaian
juga berdepan risiko apabila seksyen 114A ini berkuat kuasa sekiranya
penjenayah yang sebenar tidak dapat dikesan.
Perbincangan ini berfokuskan pada 2 perspektif,
iaitu pandangan umum sebagai orang biasa (layman) dan Penyedia Perkhidmatan
Internet (ISP) serta dari sudut kerajaan sebagai penggubal undang-undang.
Signifikan Seksyen
114A Akta Keterangan 1950 (Perspektif Kerajaan Sebagai Penggubal Undang-Undang)
Seperti yang dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia
pada 19/04/2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri
Aziz semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2012
berkata, penggunaan nama samaran ataupun ketanpanamaan oleh mana-mana pihak
untuk melakukan jenayah siber menyukarkan tindakan diambil terhadap mereka.
Justeru, Akta Keterangan 1950 perlu dipinda bagi menangani isu ketanpanamaan
internet. Penggunaan nama samaran (oleh mana-mana pihak) amat menyukarkan pihak
pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan kerana amat
sukar untuk mendapatkan keterangan daripada nama samaran. Akta Keterangan
terpaksa dipinda supaya dapat mendakwa dan mentaksirkan kesalahan kepada mereka
yang menggunakan nama samaran. Penggunaan internet membolehkan sesiapa sahaja
menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ini menjadikan masalah ketanpanamaan
pelaku kesalahan jenayah satu halangan paling besar dalam menangani jenayah
siber dilakukan melalui internet seperti menghasut, menipu, menghina mahkamah,
menceroboh dan mencuri maklumat. Hal ini kerana pelbagai teknik digunakan oleh
penjenayah untuk menyembunyikan identiti dan ada kalanya mustahil untuk
menentukan punca sebenar sesuatu e-mel atau komunikasi elektronik yang lain.
Penyelesaian bagi masalah ini ialah dengan mengalihkan tumpuan kepada pihak
lain yang boleh dikenal pasti seperti pemilik komputer, pemilik alamat IP,
pemilik alamat e-mel dan pemilik kelengkapan dan peralatan yang daripadanya
kesalahan jenayah dilakukan, dan mengenakan anggapan liabiliti ke atas mereka
tanpa mengira bahawa penglibatan mereka adalah secara langsung atau tidak
langsung. Justeru, tujuan peruntukan anggapan berasaskan owner-onus principle
adalah untuk meringankan beban pembuktian berhubung dengan fakta tertentu.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya yang ingin bersandar kepada peruntukan
anggapan mesti membuktikan terlebih dahulu kewujudan fakta-fakta tertentu
sebelum anggapan boleh dibuat terhadap seseorang.
Pindaan pada Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan)
(No.2) 2012 memperlihatkan pindaan pada Fasal 2 yang bertujuan menggantikan
tarif komputer dengan takrif komputer yang baru yang lebih komprehensif dan
selaras dengan takrif komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997. Sementara itu,
Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut memperuntukkan supaya memasukkan seksyen
baru 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang
melibatkan penyiaran melalui internet.
Kebimbangan Pihak
Bertanggungan Secara Tidak Langsung – Masyarakat Umum & Penyedia
Perkhidmatan Internet.
“Penggunaan internet
membolehkan sesiapa sahaja menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ini
menjadikan masalah ketanpanamaan pelaku kesalahan jenayah satu halangan paling
besar dalam menangani jenayah siber dilakukan melalui internet seperti
menghasut, menipu, menghina mahkamah, menceroboh dan mencuri maklumat. Hal ini
kerana pelbagai teknik digunakan oleh penjenayah untuk menyembunyikan identiti
dan ada kalanya mustahil untuk menentukan punca sebenar sesuatu e-mel atau
komunikasi elektronik yang lain. Penyelesaian
bagi masalah ini ialah dengan mengalihkan tumpuan kepada pihak lain yang boleh
dikenal pasti seperti pemilik komputer, pemilik alamat IP, pemilik alamat e-mel
dan pemilik kelengkapan dan peralatan yang daripadanya kesalahan jenayah
dilakukan, dan mengenakan anggapan liabiliti ke atas mereka tanpa mengira
bahawa penglibatan mereka adalah secara langsung atau tidak langsung.”
(Petikan
kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz)
Utusan
Malaysia 19 April 2012
Petikan
kata-kata di atas sengaja dipetik bagi menggambarkan bagaimana kerisauan yang
melanda apabila seksyen 114A ini berkuat kuasa. Bukan hanya orang awam mendapat
tempiasnya, malahan pihak-pihak berkepentingan secara tidak langsung seperti
pihak penyedia perkhidmatan rangkaian dan media sosial turut terlibat. Sehingga
artikel ini ditulis, tiada sebarang perbincangan mengenai pengecualian khusus
terhadap pemakaian seksyen 114A ini.
Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru terhadap
Akta Keterangan 1950 mencetuskan kontroversi kerana pindaan terbaru ini
meletakkan beban pembuktian kesalahan kepada pihak yang dituduh dan bukannya
pihak yang menuduh. Sebagai contoh, jika seseorang menyamar sebagai A dan
melakukan kesalahan di internet, A bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa
dia tidak bersalah. Undang-undang yang baru ini jelas bercanggah dengan prinsip
asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak
dibuktikan kesalahannya. Pindaan yang baru ini boleh mendatangkan kesan-kesan
yang negatif kepada seluruh pengguna internet dan pihak yang terlibat dalam
industri tersebut. Sesiapa sahaja yang memiliki akaun Facebook, Twitter, blog
atau forum akan dipertanggungjawabkan atas setiap isi kandungan yang terdapat
di laman-laman tersebut termasuk komen dan artikel yang ditulis oleh pihak
lain. Malahan, pihak Penyedia Perkhidmatan Internet juga turut terheret sama
dalam kancah pemasalahan ini.
Realitinya, pengesanan pengguna akhir yang melakukan
jenayah siber amat sukar dan mahal kerana teknologi terkini seperti “spoofing”
(iaitu melibatkan alamat protokol Internet palsu ataupun penggunaan pihak yang
tidak dikenali untuk menghantar bahan) menyebabkan sukar untuk mengesan pihak
yang melakukan pelanggaran hakcipta. Namun, pihak penguatkuasa pastinya
berusaha menuntut keadilan dengan membawa tindakan terhadap pihak yang
membiarkan terjadinya jenayah siber satu kemungkinan dibawah teori tanggungan
sekunder seperti penyedia perkhidmatan yang telah lama diaplikasikan dalam kes
pelanggaran hakcipta. Tanggungan ini
dirintis menerusi kes A&M Records Inc v Napster Inc yang didapati bersalah
kerana menyumbang terhadap pelanggaran hakcipta oleh penggunanya yang berkongsi
fail menerusi teknologi rangkaian peer-to-peer (P2P).
Pemahaman mengenai proses yang berlaku semasa
pemindahan maklumat adalah amat perlu bagi menentukan pihak yang bertanggungan
bagi pelakuan jenayah siber. Menerusi proses transaksi berasaskan Internet,
permintaan menerusi sistem komputer yang dilakukan oleh pengguna akan dihantar
terus ke perkakasan penyedia perkhidmatan Internet (ISP). Kemudian, perisian
akan menjana arahan bagi melakukan penyalinan yang seperti yang dikehendaki
oleh pengguna. Proses transaksi adalah seperti berikut:
Apa yang menimbulkan persoalan di sini adalah sama
ada proses yang berlaku ini menunjukkan para pengguna mengawal perisian yang
beroperasi dalam sistem ISP dan bertanggungjawab dengan pemindahan ataupun
pemindahan yang dioperasikan oleh perisian yang berada dalam milikan dan kawalan
sepenuhnya ISP membolehkan ISP bertanggungjawab atas pemindahan yang berlaku.
Disebabkan pengesanan pengguna akhir yang melakukan
jenayah siber merupakan sesuatu yang sukar dan mahal, maka menerusi
interpretasi sempit terhadap seksyen 114A pihak penguatkuasa pastinya bakal
mengambil langkah mudah mengambil tindakan terhadap ISP dan hal ini tidak
memberikan keadilan mutlak kepada ISP. Persoalannya sekarang, pihak manakah
yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap jenayah siber yang berlaku disebabkan
pihak lain dan sekiranya bertanggungan, apakah dalihan yang boleh digunakan
untuk mengelakkan daripada tanggungan perundangan?
Tanggungan ISP Menurut
Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia
Malaysia
Pemberi
perkhidmatan capaian Internet di Malaysia merupakan operator berlesen di bawah
Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (CMA) dan lesen yang diberikan
tertakluk kepada syarat yang mesti dipenuhi. Aktiviti penyedia perkhidmatan
juga tertakluk pada peruntukan dalam CMA. Kod Kandungan Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (CMCF) memerlukan pemberi perkhidmatan capaian Internet
“mematuhi dan menyertakan syarat dan peraturan di dalam kontrak dan notis
undang-undang mengenai syarat-syarat penggunaan dengan pelanggan-pelanggan
perkhidmatan mereka” (Bahagian 5 perkara 7.1). Syarat-syarat tersebut
termasuklah (a) Pelanggan mestilah mematuhi keperluan-keperluan yang ditetapkan
oleh undang-undang Malaysia termasuklah, tetapi tidak terhad kepada Kod ini dan
mestilah tidak mengandungi kandungan yang dilarang atau kandungan yang
bertentangan dengan undang-undang Malaysia; (b) pemberi perkhidmatan capaian
Internet berhak menarik balik capaian jika seseorang pelanggan yang melanggar
perkara yang dinyatakan dalam (a); dan (c) pemberi perkhidmatan capaian
Internet mestilah mempunyai hak untuk menyekat capaian atau membuang Kandungan
yang dilarang dengan syarat sekatan atau penyingkiran tersebut mengikut
tatacara aduan yang terdapat didalam Kod ini”.
Di dalam CMCF juga ada dinyatakan mengenai pemberi
hos kandungan Internet. Pemberi hos kandungan Internet ditafsirkan sebagai
pembekal yang hanya memberi capaian kepada kandungan yang bukan dihasilkan
ataupun dikumpul sendiri tetapi dimuatkan di tapak kemudahannya. Melihat kepada
tafsiran ini serta tafsiran liberal dalam seksyen 114A Akta keterangan 1950,
Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) berdepan risiko besar untuk diambil
tindakan undang-undang kerana menerusi CMCF dan seksyen 114A, tafsiran luas
telah diberikan terhadap pengumpulan kandungan di tapak kemudahannya. Secara
tidak langsung, ISP akan dikira sebagai penyumbang kepada berlakunya jenayah
siber sekiranya pihak penguatkuasa gagal mengesan pelaku jenayah sebenarnya.
Pemberi Hos Kandungan Internet
(PHKI) ialah orang yang hanya berupaya menyediakan laluan kepada kandungan yang
bukan dicipta atau dikumpul sendiri, tetapi mempunyai perkhidmatan kemudahan
hos di tapak kemudahahnnya sendiri. PHKI mestilah menyertakan syarat dan
peraturan dalam kontrak dan notis undang-undang mengenai syarat-syarat
penggunaan kepada pengguna dan pelanggan perkhidmatan yang disediakan.
Syarat-syaratnya adalah;
(a)
Pengguna dan pelanggan mestilah
mematuhi keperluan di dalam undang-undang Malaysia termasuklah (tetapi tidak
terhad kepada) Kod ini dan tidak menyediakan kandungan yang dilarang atau apa
jua kandungan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia;
(b)
PHKI mempunyai hak untuk menarik
balik perkhidmatan hos dalam keadaan di mana pengguna atau pelanggan melanggar
syarat (a) di atas; dan
(c) PHKI mempunyai hak untuk menyingkirkan
sebarang kandungan yang dilarang dengan syarat penyingkiran tersebut selaras
dengan tatacara aduan yang terkandung dalam Kod.
Apabila Biro
Aduan memberitahu PHKI bahawa pengguna atau pelanggannya memuat naik kandungan
yang dilarang, dan PHKI berjaya mengenal pasti pelakunya, PHKI harus mengambil
langkah yang berikut:
(a) Dalam tempoh dua (2) hari bekerja dari
tarikh pemberitahuan, maklumkan kepada pengguna atau pelanggan supaya
mengeluarkan kandungan yang dilarang tersebut.
(b) Menetapkan jangka masa membolehkan
pelanggan menyingkirkan kandungan yang dilarang iaitu diantara 1 hingga 24 jam
dari masa notis pemberitahuan.
(c) Jika pelanggan tidak menyingkirkan
kandungan yang dilarang dalam jangkamasa yang ditetapkan, PHKI mempunyai hak
untuk untuk membuang kandungan tersebut.
Melalui seksyen 98 (2) CMA “Pematuhan suatu kod
industri sukarela berdaftar hendaklah menjadi suatu pembelaan terhadap apa-apa
pendakwaan, tindakan atau prosiding daripada apa-apa jenis, sama ada dalam
mahkamah atau selainnya, yang diambil terhadap seseorang (yang tertakluk kepada
kod industri sukarela itu) berkenaan dengan suatu perkara yang diperkatakan
dalam kod itu”. Isu mengenai penyiaran
bahan yang menjurus kepada jenayah siber atau kandungan yang dianggap sebagai
“kandungan yang dilarang atau kandungan yang bertentangan dengan perundangan
Malaysia” merupakan perkara yang perlu ditafsir. Jika ia dianggap sedemikian
dan penyedia perkhidmatan akses Internet mengeluarkan akses kepada pengguna
atau menyekat akses kepada atau menghapuskan kandungan tertentu, objektif bagi
menangani jenayah siber akan tercapai. Apakah jika penyedia perkhidmatan akses
Internet menolak atas alasan bahawa ia bukannya tribunal penghakiman untuk
menentukan sama ada kandungan yang dibuat aduan memang menjurus kepada pelakuan
jenayah siber?
Rumusan
Penggubalan seksyen 114A Akta Keterangan Malaysia
dilihat usaha positif kerajaan bagi menangani jenayah siber yang semakin
menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Namun begitu, sesuatu yang baru pastinya
ada lacuna atau kelompangannya. Penulis mencadangkan agar tafsiran terhadap
seksyen 114A perlu dilihat secara liberal yakni seksyen 114A ini perlu dibaca
sekali dengan peruntukan-peruntukan lain yang telah berkuat kuasa serta mantap
dari segi pelaksanaannya. Sebagai contoh, seksyen 114A perlu dibaca sekali
dengan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang melibatkan
juga kepentingan Penyedia Perkhidmatan Internet. Seksyen 114A ini dilihat
terlalu umum sehingga sampai ke satu tahap pihak yang tidak bersalah juga turut
diambil tindakan. Pengalihan tanggungan liabiliti kepada pihak yang secara
tidak langsung terbabit dengan pelakuan jenayah siber sebenarnya mencetuskan
ketidakjelasan terhadap penguatkuasaan peruntukan seksyen ini.
Pengaplikasian konsep “Take Down Notice” yang diaplikasikan
dalam perundangan di Amerika Syarikat dalam menyekat kandungan internet yang
menyalahi perundangan boleh diambil kira sebagai cadangan penambahbaikan. Satu
badan yang memantau kandungan internet (sebagai contoh Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia – SKMM) selepas mendapat aduan orang awam perlu
memaklumkan kepada pihak yang terlibat tentang penyiaran bahan pelanggaran
perundangan yang berlaku di akaun blog / laman mereka. Sekiranya bahan tersebut
masih ada, maka di sini barulah tindakan perundangan boleh diambil kepada
pemilik blog, pihak yang membuat penyiaran tersebut. Mekanisme ini dilihat
lebih wajar dan praktikal untuk dilakukan di Malaysia.
Pengalihan tanggungan liabiliti
terhadap pihak yang secara tidak langsung terbabit dengan apa-apa penyiaran
yang menjurus kepada pelakuan jenayah siber seharusnya perlu ada batasan
criteria pihak yang bertanggungan. Penggunaan konsep “semua pihak
bertanggungan” perlu dilihat dari sudut realiti. Manusia pastinya akan sering
kali terlepas pandang dalam sesuatu hal atau tidak dapat mengawal semua perkara
dalam satu-satu masa yang di luar jangkauan kita. Sebagai contoh, komen
seseorang blogger terhadap sesuatu post dalam blog kita. Sekiranya komen blogger
tersebut berbaur hasutan dan pengesanan blogger yang membuat komen tersebut
gagal, menurut seksyen 114A, kitalah pihak yang bertanggungan. Di sini,
pengawalan terhadap komen blogger mungkin mudah dilakukan sekiranya komen yang
dibuat tidak banyak, namun sekiranya banyak komen diberikan, adakah kita
sebagai pemilik blog tersebut dapat menjamin tidak akan terlepas pandang
terhadap komen yang berbaur hasutan tersebut? Kesemuanya berbalik kepada
pengaplikasian secara realiti dalam keadaan semasa. Pemilik blog sebagai pihak
bona fide seharusnya tidak diletakkan beban pembuktian bahawa dia bersalah.
Perkara mengenai pengalihan tanggungan liabiliti dan beban pembuktian perlu
dilihat secara saksama. Mekanisme pelaksanaan perlu dilakukan secara rasional
dan bukan hanya bersandarkan kepada aspek teknikal sahaja kerana kegagalan
mengaplikasikan dalam situasi dunia sebenar menyebabkan ramai pihak yang tidak
bersalah menjadi mangsa dan sekali gus obektif perundangan untuk memberikan
keadilan sejagat tidak terlaksana.
(Artikel ini merupakan
pandangan peribadi penulis)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "Kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan Malaysia"
Leave A Reply