Welcome to Prima Facie Blog! Flying Bat

‘DYING DECLARATION’ a.k.a Pengisytiharan Kematian dalam Undang-Undang Inggeris dan perbezaannya dalam Seksyen 32 (1) (a) Akta Keterangan 1950

Posted on Sunday, December 16, 2012 by Unknown


Kepada pembaca yang setia sekalian, dengan ini saya ingin mengisytiharkan posting saya kali ini adalah sambungan daripada posting saya yang lepas mengenai kebolehterimaan keterangan dengar cakap melalui pengecualiannya iaitu ‘dying declaration’.http://primafaciejourney.blogspot.com/2012/12/dying-declaration-sebagai-satu-doktrin.html . Penggunaan keterangan ‘dying declaration’ dalam Undang-undang umum iaitu Undang-Undang Inggeris adalah berbeza dengan pemakaiannya di Malaysia.





Hal ini kerana Seksyen 32 (a) adalah berkaitan dengan kerelevanan kenyataan mangsa dalam kes jenayah di mana sebab kematianya dipersoalkan. Oleh yang demikian kenyataan adalah dari orang yang menyatakan sebab kematian mangsa atau kenyataan sebarang keadaan transaksi yang menyebabkan kematian mangsa, oleh itu, Akta Keterangan di Malaysia mempunyai skop yang lebih luas berbanding Undang-undang Inggeris yang mana pengisytiharan kematian hanya diterima dalam kes bunuh dan bunuh tanpa sengaja. Malahan, seksyen 32(a) Akta Keterangan ini turut terpakai dalam kes sivil. Perbezaan utama dengan undang-undang Inggeris adalah ianya tidak perlu dibuat dalam keadaan hampir mati. Kenyataan dibuat sungguh pun sebelum kematian hampir adalah juga diterima di bawah seksyen 5. Jika kenyataan dibuat sebelum hampir kematian , kedekataan (proximity)  adalah perlu ditunjukkan kepada kenyataan yang diberikan. Dalam Akta Keterangan, harapan atau pengetahuan akan mati tidak diperlukan.

Elemen yang diperlukan dalam mengisytiharkan kematian adalah ;

i)                    Kenyataan orang yang telah mati.
ii)                   Nilai keterangan pengisytiharan kematian.
iii)                 Pengisytiharan kematian boleh dalam bentuk lisan atau tanda-tanda, isyarat yang
       dibuat oleh simati.
iv)                 Kedekatan (Proximity ) dan pengisytiharan kematian.
v)                  Keadaan transaksi ( Circumstances of transaction ).
vi)                 Fikiran waras (fit state of mind).
vii)               Kenyataan mestilah berkait dengan kematian orang yang membuat kenyataan tersebut.

Elemen pertama adalah kenyataan orang yang telah mati yang perlu dibuktikan untuk menjadi sebahagian daripada doktrin ‘dying declaration’ ini. Oleh itu, satu bentuk keteranagn bukti kematian seperti salinan sijil kematian adalah satu keteranagn terbaik. Anggapan kematian juga boleh dibuat dibawah seksyen 107 dan 108 Akta Keterangan 1950. Malah kematian juga boleh dibuktikan dengan keterangan lisan. Seperti mana dalam kes PP V Leong Heo Cheong [1990] 2 CLJ 818. Pendakwa telah membuktikan fakta kematian Sidek sungguhpun tanpa bantuan sijil kematian. Dengan merujuk kepada keterangan PW1, PW2, kesemua mereka adalah kawan tertuduh dan telah memberi keterangan tanpa dicabar bahawa Sidek telah mati sebelum pembicaraan bermula. Pw2 iaitu ketua kepada Sidek telah memberi keterangan bahawa Sidek telah mati pada 14 June,1989. Oleh itu keperluan awal pembuktian kematian seksyen 32 telah dipenuhi oleh pendakwa.





Elemen kedua pula ialah mengenai nilai keterangan pengisytiharan kematian. Bagaimana menentukan nilainya ? Tidak seperti keterangan lisan yang lain yang perlu dilakukan secara bersumpah (under oath), keterangan untuk pengisytiharan kematian ini tidak memerlukan cara bersumpah. Malah kenyataannya juga tidak boleh disoal balas dan kenyataannya juga tidaklah perlu disokong (corroborate). Hal ini boleh dilihat dalam kes Nembhard V R [1982] 1 ALL ER 183 yang mana dalam kes ini, Privy Counsel telah menolak bahawa kenyataan pengisytiharan kematian perlu disokong. Tambahan pula dalam kes Kushla Rao V State of Bombay ( AIR) 1958 SC 22,  mahkamah menyatakan bahawa ianya tidak boleh dikatakan peraturan mutlak undang-undang yang mana pengisytiharan kematian tidak boleh dijadikan asas sabitan jika keterangannya tidak disokong. Malahan setiap kes hendaklah ditentukan pada faktanya sendiri mengikut keadaan pengisytiharan kematian itu dibuat. Oleh yang demikian, ianya tidak boleh dikatakan pengisytiharan kematian suatu jenis keterangan yang lemah. Tambahan lagi, pengisytiharan kematian yang dirakam oleh seorang majistret yang kompeten dengan cara yang betul iaitu dalam bentuk soalan dan jawapan dan seberapa yang boleh dengan perkataan yang dikatakan oleh pembuatnya mempunyai asas yang lebih tinggi daripada pengisytiharan kematian yang hanya bergantung kepada keterangan lisan yang mungkin mengalami kecacatan ingatan dan kelakuan manusia.


Elemen ketiga pula adalah mengenai pengisytiharan kematian yang boleh dilakukan dalam bentuk lisan atau tanda-tanda, isyarat yang dibuat oleh simati. Dalam kes Queen Empiers V Abdullah IRL 7 385, tertuduh telah dibicarakan kerana membunuh seorang pelacur dengan memotong leher menggunakan pisau cukur. Oleh kerana kecederaan yang dialami oleh mangsa telah menyebabkan mangsa tidak boleh bercakap. Pihak polis telah menyebut beberapa nama untuk dikenali oleh mangsa ketika soal siasat. Apabila nama tertuduh disebut mangsa telah mengangguk kepala dan berkata ' hau ' (ya) dengan suara yang sangat perlahan. Apabila ditanya adakah beliau dicederakan dengan pisau tersebut, mangsa telah mengangguk kepala. Bila ditanya waktu dan keadaan dia berjumpa tertuduh,mangsa telah menunjuk ke arah langit yang menunjukkan waktu pagi. Oleh yang demikian, mahkamah telah memutuskan semua keterangan ini adalah boleh diterima di bawah seksen 32.

Elemen seterusnya adalah mengenai kedekatan (Proximity ) dan pengisytiharan kematian. Persoalan mengenai kedekatan hanya boleh diputuskan melalui fakta sesuatu kes. Dalam kes Pakala Narayananaswamy v The Emperor [1939] PC 8 MLJ 59, isteri perayu telah meminjam duit daripada si mati. Pada 20 Mac,  si mati telah menerima surat daripada isteri tertuduh menjemputnya ke rumah di Berhampur. Si mati telah memberitahu isterinya dia pergi ke rumah tertuduh pada 20 Mac tersebut dan selepas itu si mati didapati hilang. Pada 23 Mac mayat si mati telah dijumpai dalam 7 bahagian di dalam batang besi dalam gerabak kelas ketiga stesen kereta api Puri. Isteri si mati telah memberi kenyataan bahawa si mati telah pergi ke rumah tertuduh berikutan dengan surat yang diterima pada 21 Mac. Telah dipertikaikan dalam kes ini bahawa kenyataan sedemikian adalah sekadar keterangan dengar cakap dan bukannya pengisytiharan kematian. Walau bagaimanapun mahkamah memutuskan ianya adalah pengisytiharan kematian di bawah seksen 32(a) dengan alasan penyataan adalah berada dalam keadaan transaksi yang menyebabkan kematian kepada si mati. Apakah yang dimaksudkan dengan keadaan transaksi berikut ? jawapannya akan membawa anda kepada elemen seterusnya iaitu keadaan transaksi ataupun (Circumstances of transaction). Untuk layak sebagai pengisytiharan kematian, kenyataan mestilah berhubung kepada dua perkara iaitu sebab kematian atau keadaan transaksi yang membawa kepada kematian. Perkataan keadaan transaksi tidak jelas dan tepat dan ianya memerlukan pertimbangan dan budi bicara kehakiman. Sebagai contoh, dalam kes Yeoh Hock Cheng v R [1938] 1 MLJ 99. A telah disabitkan salah membunuh seorang perempuan Cina bernama Low Koh. Dua kenyataan mangsa telah dibuat kepada bapa dan kakaknya pada tarikh yang berbeza telah diterima sebagai keterangan oleh mahkamah. Kenyataan yang dibuat mangsa kepada bapanya adalah dia menafikan tidur dirumah perayu pada tarikh tertentu disebabkan A telah mengugut untuk membunuhnya sekiranya diberitahu demikian (jika diberitahu dia sebenarnya tidur dirumah perayu). Manakala kenyataan kepada kakaknya adalah dia akan keluar bersama A dan telah disuruh oleh A untuk memakai pakaian lelaki bagi mengelak dari dikenali. Keadaan transaksi ini telah menyebabkan kematian mangsa. Malahan, dalam kes Mary Shim V PP [1962] 28 MLJ 132 transaksi dan kedekatan (proximity) kejadian tersebut telah mengundang kematian mangsa juga terdapat dalam kes ini. Dalam kes ini, isteri a.k.a si mati  telah memberitahu suaminya dia menjadi sakit setelah mengambil ubat yang dibekalkan oleh perayu. Suaminya juga telah diberitahu bahawa isterinya telah pergi ke rumah perayu untuk melakukan pengguguran dan sebatang kayu telah dimasukkan ke dalam rahimnya. Si mati menyatakan kayu tersebut telah dikeluarkan olehnya sendiri di mana telah diberikan kepada Dr.Tan. Di samping kenyataan yang dibuat kepada suaminya, si mati juga telah menceritakan apa yang dialaminya kepada kepada Dr. Tan dan juga kepada Majistret semasa berada di hospital. Kenyataan si mati kepada Dr. Tan dan Majistret adalah jelas boleh diterima di bawah seksen 32 (a) Akta Keterangan.

Elemen seterusnya bagi memenuhi kebolehterimaan ‘dying declaration’ sebagai salah satu pengecualian kepada keterangan dengar cakap adalah mengenai fikiran waras (fit state of mind). Elemen ini dapat dilihat dalam kes Lallubhai Devachand v State of Gujarat AIR 1977 SC 1776 apabila si mati iaitu seorang perempuan telah mencurahkan minyak tanah dan dibakar oleh keluarga pihak si suami. Sebelum meninggal,  si mati telah memberi beberapa kenyataan. Mahkamah Agong menyatakan sebelum kenyataan pengisytiharan kematian diterima ia mestilah ditunjukkan fikiran si mati adalah waras. Orang yang merakamkan pengisytiharan kematian hendaklah berpuas hati orang yang membuat kenyataan kematian adalah sedar dengan pemahaman biasa yang boleh diterima.


Elemen ketujuh pula adalah mengenai kenyataan yang relevan di bawah seksen 32(a) yang mana mestilah berkaitan dengan kematian orang yang membuat kenyataan tersebut. Sekiranya ia mengaitkan kematian orang lain maka ianya tidak boleh diterima. Seperti mana diputuskan dalam kes Re Peria Chelliah Nadar [1942] Mad. 450, tertuduh telah dibicara untuk kesalahan membunuh si mati. Isteri si mati telah membuat kenyataan bahawa tertuduh telah membunuh suaminya. Selepas itu dia membunuh diri. Kenyataan isterinya cuba dijadikan keterangan di bawah seksen 32. Mahkamah memutuskan kenyataan demikian tidak boleh diterima kerana kenyataan tersebut mengaitkan kematian orang lain (suaminya) dan bukan dirinya. Begitu juga dalam kes Hj. Salleh dan Marzuki V PP [1931] FMSLR 229, apabila perayu telah dituduh membunuh. Dalam kes ini, terdapat seorang saksi kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun dan disokong dengan Pengisytiharan Kematian sebulan sebelum kematian. Di dalam surat yang ditemui menyatakan dia takut kepada Marzuki. Mahkamah memutuskan Pengisytiharan Kematian tersebut tidak boleh diterima di bawah seksen 32(a) kecuali surat itu menyatakan sebab kematian. Hal ini kerana, ianya adalah perkara sebelum berlaku kejadian dan bukan dalam transaksi yang sama. Oleh yang demikian, Seksyen 32 (a) mestilah dibaca dengan sewajarnya dan surat tersebut bukan transaksi yang sama dan merupakan suatu perkara yang berasingan.


Seterusnya, Pengisytiharan Kematian mestilah lengkap. Dalam kes Cyril Waugh V King [1950] AC 203 (Privy Cauncil ), perayu telah menembak seorang lelaki secara tidak sengaja kerana menyangka lelaki tersebut adalah pencuri. Sebelum si mati meninggal, dia telah berkata “ lelaki itu ada perselisihan lama dengan saya” .......kemudian meninggal. Pengisytiharan Kematian tidak lengkap kerana tidak diketahui siapa yang membunuhnya dan tidak boleh diterima. Namun dalam kes Abdul Satar V State of Mysore [1958] AIR (SC) satu Pengisytiharan Kematian telah dibuat “ Satar shot me off.... I`am ruin, please come ..... ( Satar tembak saya.... saya musnah, tolong datang.....” . Seorang Range Gonda datang untuk menolong mangsa dan si mati (mangsa) ingin berkata lagi tetapi tidak sempat. Peguam mempertikaikan kenyataan itu tidak lengkap dengan merujuk kepada kes Cyril tetapi mahkamah memutuskannya ianya adalah lengkap kerana dinyatakan Satar yang menembak dan ada orang melihat Satar melarikan diri dari tempat kejadian.

Dalam hal ini keraguan boleh timbul mengenai ‘state of mind si mati’ sewaktu menghadapi kematian dan ingin menceritakan perkara yang berlaku sejurus sebelum kematiannya yang boleh bercampur baur. Oleh yang demikian, seksyen 32 (a) ini perlulah dibaca dengan ketat dan perlulah disokong dengan keterangan lain bagi membuktikan ‘dying declaration’ ini boleh dijadikan satu pengecualian kepada satu-satu keterangan dengar cakap tersebut. Maka, diharap dengan posting ini, ianya dapat membantu para pembaca sekalian mengenai perbezaan antara pemakaian pengisytiharan kematian dalam Undang-Undang Inggeris dan di Malaysia. Antaranya adalah :


Undang-Undang Inggeris
Akta Keterangan 1950
Penggunaannya hanya untuk kes jenayah dan hanya di pihak pendakwaaan bagi kes bunuh si mati.
Penggunaannya terpakai kepada kes sivil dan jenayah.
Penggunaan Pengisytiharan Kematian diterima di mahkamah hanya dengan adanya, pengharapan (expectation), pengetahuan (knowledge) dan kematian (death).
Penggunaan Pengisytiharan Kematian diterima di mahkamah hanya apabila sebab kematian menjadi persoalan. Pengharapan (expectation) dan pengetahuan (knowledge) adalah tidak ditekankan.

Sekian, ingat, jangan lakukan jenayah dan ingat kematian :) Terima kasih....

No Response to "‘DYING DECLARATION’ a.k.a Pengisytiharan Kematian dalam Undang-Undang Inggeris dan perbezaannya dalam Seksyen 32 (1) (a) Akta Keterangan 1950 "

Leave A Reply