Welcome to Prima Facie Blog! Flying Bat

Kebolehterimaan maklumat daripada tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan

Posted on Thursday, December 20, 2012 by hafiz


Polis           : “mana awak barang tu.”
Tertuduh     : “saya tak tahu la encik.”
Polis           : “baik awak bagitau, kalau awak bagitau kami janji akan lepaskan awak. Cuma kawan-kawan awak yang kan didakwa.”
Tertuduh    : “betulke encik? Barang tu kawan saya letak ada dekat dalam almari sebelah atas rasanya.”

Sering kita akan dengar dialog ini sama ada dalam filem yang membabitkan kes jenayah mahupun dalam penyiasatan pihak polis secara realitinya. Ada di antara tertuduh memberi maklumat seperti itu setelah pihak polis memberi harapan yang berlebihan mereka, ada juga yang memberi maklumat ini setelah dipujuk oleh pihak polis atau setelah dipaksa untuk memberi maklumat kepadanya.

Pihak polis dan pihak pendakwaan sering menggunakan maklumat yang diberikan oleh tertuduh ini sebagai keterangan untuk mewujudkan satu kes prima facie dalam kes pendakwaan mereka walaupun maklumat yang diberikan itu diperoleh setelah memberi satu janji kepada tertuduh namun tidak pernah menunaikannya. Bagi orang biasa, mungkin mereka melihat maklumat ini sebagai satu yang boleh diterima oleh mahkamah kerana mereka tidak mengetahui status maklumat ini dan juga tidak mengetahui bagaimana maklumat ini diperoleh. Bagi mereka cukuplah ada bukti atau keterangan daripada tertuduh yang menunjukkan seolah-olah tertuduh memang melakukan kesalahan jenayah terbabit.

Di sini, mari kita lihat kedudukan maklumat ini berdasarkan seksyen 27 Akta Keterangan 1950. Mungkin artikel ini tidak akan menggambarkan secara keseluruhan bagaimana maklumat ini diterima, namun artikel ini akan memberi sedikit gambaran bagaimana maklumat sebegini boleh diterima oleh mahkamah atau sebaliknya. Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan ;
GAMBAR SEKADAR HIASAN. TIADA KENE MENGENA DENGAN SAMA ADA HIDUP ATAU TELAH MENINGGAL DUNIA
GAMBAR SEKADAR HIASAN. TIADA KENA MENGENA DENGAN SAMA ADA YANG MASIH HIDUP ATAU TELAH MENINGGAL DUNIA

“apabila sesuatu fakta dideposkan sebagai telah didapati hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang yang dituduh melakukan kesalahan semasa dalam jagaan pegawai polis, maka sekian banyak daripada maklumat itu yang jelas berhubungan dengan fakta yang didapati secara demikian boleh dibuktikan sama ada maklumat itu terjumlah kepada pengakuan salah atau tidak.”

Berdasarkan seksyen ini, sesuatu maklumat yang diberi oleh tertuduh sama ada secara sukarela mahupun tidak atau sama ada merupakan satu pengakuan salah atau tidak, tidak relevan dalam menetukan keboleterimaannya. Apa yang penting adalah maklumat yang diberikan itu secara jelas membawa kepada penemuan sesuatu objek akan membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan maklumat terbabit sebagai keterangan di bawah seksyen 27.

Walaupun, Sesuatu maklumat itu diberi secara sukarela atau tidak, tidak menjadi masalah dalam menerima keterangan ini dibawah seksyen 27 Akta keterangan, namun mahkamah sering memberi amaran terhadap pelaksanaan pihak pendakwaan sekyen ini. Pihak mahkamah masih perlu memastikan kredibiliti maklumat yang diberikan tertuduh ini sebelum menerimanya di bawah seksyen 27 Akta Keterangan supaya ianya tidak terdedah kepada penyalahgunaan. Dalam kes Pang Chee Meng v PP [1992] 1 MLJ 137, Tun Hamid Omar LP, menyatakan;

“We are not suggesting that the practice by the local police is the same as in India, nevertheless we are firmly of the view that invoking section 27 the courts should ensure the credibility of evidence by police personnel in respect of the section, which is so vulnerable to abuse. In this case the police evidence was unsatisfactory and created a doubt in the thoroughness of the police investigation.”

Walaupun jika dilihat, pihak pendakwaan boleh mengemukakan maklumat tertuduh ini sebagai keterangan tanpa perlu dilihat kepada faktor sukarela atau tidak, mahkamah masih berhati-hati dalam menerima maklumat ini kerana hanya maklumat yang secara jelas membawa kepada penemuan sesuatu “fakta” sahaja boleh diterima di bawah seksyen ini.

Dalam kes Shah Rizan bin Sulong v PP, Mahkamah Rayuan dalam menolak penerimaan maklumat di bawah seksyen 27 ini, menegaskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah gagal untuk menyatakan di dalam alasan penghakimannya sama ada beliau menerima maklumat perayu kepada SP6 dibawah seksyen 27 Akta Keterangan atau di bawah seksyen 37A Akta Dadah Berbahaya 1952. Hakim Mahkamah Rayuan memetik penghakiman oleh James Foong HMR di dalam kes Y Jeyamuraly Yesiah v. PP [2007] 5 CLJ 605, dimana James Foong HMR menyatakan ;

“Tidak ada apa-apa rujukan sama ada secara langsung atau sebaliknya oleh hakim bicara di dalam alasan penghakimannya yang menunjukkan bahawa beliau telah menerima-masuk keterangan berkenaan di bawah seksyen 27 EA. Jika beliau berbuat demikian, eliau tentu akan membuat satu dapatan positif di dalam alasan penghakimannya berkaitan maklumat yang diterima yang membawa kepada penemuan fakta yang dikatakan. Dan untuk mencapai keputusan sedemikian, beliau tentu akan menyelidik soalan yang ditanyakan oleh pegawai polis yang membawa kepada maklumat yang didedahkan itu. Ini perlu bagi memastikan bahawa maklumat yang diterima ada hubungkait dengan soalan yang ditanya. Oleh kerana tiada petunjuk bahawa langkah berhati-hati sedemikian diambil oleh hakim bicara, maka beliau tidak menerima keterangan berkenaan melalui seksyen 27 EA.”

Jika dilihat pada penghakiman ini, walaupun hakim menyatakan tiada sebarang rujukan oleh mahkamah sebelumnya mengenai penerimaan maklumat di seksyen 27 Akta Keterangan, namun di sebalik keputusan itu adalah, hakim menegaskan bahawa kegagalan hakim mahkamah sebelum itu untuk memeriksa sama ada soalan yang ditanyakan oleh pihak polis membawa kepada maklumat yang didedahkan itu, menyebabkan maklumat itu tidak boleh diterima di bawah seksyen 27. Ini kerana tidak dibuktikan bawah soalan polis kepada tertuduh yang membawa kepada maklumat yang didedahkan itu.

Dalam kes ini juga, hakim telah menyatakan bahawa;

“ Hakim Mahkamah Tinggi telah gagal untuk mengarahkan diri beliau tentang faktor prejudis atau harapan yang berlebihan (legitimate expectation) yang telah diberikan oleh SP6 sebagai seorang yang berkuasa. Tidak dinafikan bahawa tidak wujud keterangan bahawa perayu berada dalam ketakutan pada masa itu tetapi, pada hemat kami, HMT telah terkhilaf apabila gagal mengarahkan diri beliau terhadap keadaan minda perayu yang pada masa itu telah ditangkap dan di bawah tahanan polis.”

Mahkamah rayuan turut memutuskan bahawa penerimaan maklumat perayu oleh HMT melalui cara yang SP6 gunakan adalah satu cara yang  menindas dan bertentangan dengan taraf-taraf kewajaran.

Dalam kes, PP lwn. MAZLAN MUSTAFFA, hakim Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan tertuduh untuk menerima maklumat daripada tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan atas alasan (1) beliau mendapati keterangan itu telah diperolehi secara 'menindas dan melalui pujukan' dan (2) beliau mencurigai bahawa ayat dalam P43 tersebut adalah perkataan-perkataan atau maklumat daripada tertuduh.

Edgar Joseph Jr SCJ di dalam kes Hasibullah bin Mohd Ghazali v. Public Prosecutor [1993] 4 CLJ 535, menyatakan bahawa ;

“(5) Sekalipun diandaikan yang perayu telah membuat pengakuan yang didakwa itu, Hakim perbicaraan yang bijaksana tersebut telah tersilap apabila memutuskan bahawa pengakuan tersebut dibuat secara sukarela di mana dalam memutuskan yang tertuduh mestilah menunjukkan yang dia diletakkan di bawah ketakutan untuk membolehkan pernyataan tersebut berhasil, Hakim yang bijaksana tersebut telah menterbalikkan beban membukti dan tidak memperdulikan keperluan bahawa pihak pendakwa perlu membuktikan di luar keraguan yang munasabah bahawa pengakuan
tersebut adalah dibuat secara sukarela.
(6) Dalam memutuskan sama ada atau tidak sesuatu pernyataan yang dibuat oleh seseorang tertuduh diperolehi daripadanya sama ada secara ketakutan atau prejudis atau harapan kelebihan diamalkan atau diberikan oleh seseorang yang berkuasa, yang penting sekali ialah keadaan minda tertuduh. Hakim yang bijaksana tersebut dalam memutuskan bahawa perayu tidak berada dalam ketakutan yang sepertinya yang dikecualikan oleh undang-undang daripada menerima pernyataannya, telah mengecualikan daripada pertimbangan beliau akan keadaan minda perayu dari segala kelemahan dan ketabahan dan sebaliknya menghadkan tumpuan beliau kepada niat Giam.”

Jadi, bagaimana maklumat yang diberikan oleh tertuduh boleh diterima sebagai keterangan di bawah seksyen 27 Akta Keterangan? Dalam kes Shah Rizan bin Sulong v PP, mahkamah rayuan telah menetapkan beberapa prayarat kepada pihak pendakwaan sebelum menerima maklumat yang diberikan oleh tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950. Antara syarat yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan adalah;
1)      Membuktikan perkataan sebenar soalan yang diutarakan oleh pihak polis kepada pesalah,
2)      Membuktikan jawapan sebenar pesalah yang diberikan kepada pihak polis.

Dalam kes PP lwn. MAZLAN MUSTAFFA, mahkamah rayuan telah menyatakan bahawa;

Adalah suatu prinsip undang-undang yang mantap bahawa untuk bergantung kepada maklumat di bawah s. 27 Akta Keterangan, pernyataan itu mestilah dibuat oleh tertuduh sendiri dalam bahasanya sendiri. Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh tertuduh haruslah dibuktikan dengan tegasnya dan tidak seharusnya diubah dengan kata-kata lain.”

Berdasarkan dua kes di atas, secara jelas untuk menerima maklumat yang diberikan oleh tertuduh, pihak pendakwaan perlu memastikan bahawa penyataan yang dibuat adalah penyataan yang dibuat sendiri oleh tertuduh dan tidak ditambah oleh pihak polis atau pihak pendakwaan.

Kegagalan pihak pendakwaan untuk membuktikan penyataan yang dibuat adalah penyataan yang dibuat oleh tertuduh akan menyebabkan maklumat terbabit tidak boleh diterima di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950. Ini dapat dilihat dalam penghakiman oleh Gopal Sri Ram HMR dalam kes Hasamudin Talena v PP [2002] 2 CLJ 504 di mana hakim memutuskan bahawa;

“yang diperkatakan telah dibuat oleh perayu ketika beliau disoal siasat dan ditempat di mana dadah tersebut dijumpa masing-masingnya telah tidak dituliskan sebaik sahaja ianya boleh dipraktikkan. Berhubung kenyataan pertama, tidak terdapat sebarang alasan bagi kegagalan interogator untuk mencatatkan soalan-soalan yang dikemukakan dan jawapan-jawapan yang diterima daripada perayu sama ada ketika disoal siasat atau sejurus selepas itu. Berhubung kenyataan kedua, interogator tersebut sepatutnya telah mencatatkannya secara bertulis dalam diari beliau sebaik sahaja beliau kembali daripada tempat jenayah. Pensabitan perayu yang berdasarkan kepada kedua-dua kenyataan ini, adalah dengan itu sesungguhnya tidak selamat.”

Berdasarkan huraian yang dibuat di atas, dapat disimpulkan bahawa untuk memastikan maklumat yang diperoleh daripada tertuduh boleh diterima di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950, beberapa perkara perlu dipenuhi oleh pihak pendakwaan iaitu;
1)      Membuktikan perkataan sebenar soalan yang diutarakan kepada tertuduh,
2)      Membuktikan perkataan sebenar jawapan yang diberikan tertuduh kepada pihak polis,
3)      Maklumat tidak diperoleh dengan cara menindas,
4)      Maklumat perlu diperolehi dengan tidak melampaui taraf-taraf kewajaran.

Semoga artikel ini dapat membantu masyarakat memahami mengapa sesuatu maklumat yang diberi oleh tertuduh tidak boleh mensabitkan tertuduh dengan kesalahan walaupun ianya seolah-olah menunjukkan tertuduh telah melakukannya. Semoga informasi ini dapat memberi pemahaman kepada  masyarakat supaya tidak bersikap prejudis terhadap sebarang penghakiman yang diberikan oleh mahkamah dan supaya pihak polis lebih berhati-hati dalam mendapatkan maklumat daripada tertuduh.

2 Response to "Kebolehterimaan maklumat daripada tertuduh di bawah seksyen 27 Akta Keterangan"

.
Anonymous Says....

Thank you. Read S27 many times but failed to understand until I read this article.

Leave A Reply