DYING DECLARATION sebagai satu doktrin pengecualian kepada KETERANGAN DENGAR CAKAP
Posted on Saturday, December 15, 2012 by Unknown
Posting saya
pada kali ini masih berkisar tentang keterangan dengar cakap yang
membolehkannya diterima di mahkamah sebagai satu keterangan yang relevan. Doktrin
res gestae adalah salah satu pengecualian kepada keterangan dengar cakap yang
terpakai dalam Undang-Undang Keterangan di Malaysia. Pengecualian tersebut
dinyatakan dalam seksyen 6 Undang-Undang Keterangan 1950. Doktrin Res Gestae
didefinisikan sebagai sebahagian daripada cerita (part of the story/things
done). Pemakaian doktrin Res Gestae berbeza aplikasinya dalam Common Law dan
daripada perspektif Malaysia. Perbezaan tersebut menunjukkan bahawa peruntukan
undang-undang di Malaysia sudah semakin berkembang dan mampu berdiri dengan
sendiri. Hal ini kerana, dalam pemakaian doktrin Res Gestae dalam menjadi satu
pengecualian bagi kebolehterimaan keterangan dengar cakap di Malaysia adalah
berbeza dari segi pendekatannya yang digunakan berbanding dengan Common Law. Seperti
mana yang telah diterangkan oleh saudara Fairul dalam posting beliau di http://primafaciejourney.blogspot.com/2012/11/section-6-res-gestae-par-in-res-gestae.html
dan saudari Esther Tan dalam postingnya http://primafaciejourney.blogspot.com/2012/11/kong-hong-lai-v-pp-2010-on-section-6.html
telah banyak menceritakan berkenaan tentang pemakaian doktrin Res Gestae ini
serta perbezaannya dalam pengaplikasian dalam Common Law dan Undang-Undang
Keterangan di Malaysia.
Oleh yang
demikian, dalam posting saya kali ini, pengecualian yang ingin dibincangkan
dalam kebolehterimaan keterangan dengar cakap ini adalah berkenaan pengisytiharan
kematian ataupun doktrin ‘dying declaration’. Apakah yang dimaksudkan dengan
doktrin pengisytiharan kematian ? apakah kaitannya dengan keterangan dengar
cakap ? persoalan sebegini pasti bermain di minda dan benak fikiran anda
barangkali. Oleh yang demikian dalam posting kali ini, saya ingin membawa
pembaca untuk menyelusuri kaitan doktrin ini bersama fakta kes yang akan
dibincangkan. Untuk mendapatkan ‘feel’ atau ‘mood’ yang baik, pembaca
dinasihatkan untuk membeli snek atau makanan ringan yang boleh dijamah sewaktu
membaca posting saya ini kerana makanan ringan anda tersebut akan menjadi lebih
enak sekiranya dimakan sewaktu membaca posting saya. Tidak percaya, maka
selamat mencuba J
Apakah yang
dimaksudkan dengan ‘dying declaration’ ? adakah orang yang sudah meninggal itu
perlu diisytiharkan ? bagaimana pengisytiharan tersebut dibuat dan apakah
kaitannya dengan keterangan dengar cakap ? kalah soalan gosip artis…… J Baiklah, doktrin ‘dying declaration’ ini terdapat dalam Akta Keterangan 1950. Peruntukan
tersebut adalah seksyen 32. Apakah kaitannya ? Sabar yer….. Dalam seksyen 32
Akta Keterangan 1950 ini, antara lain menyatakan tentang kenyataan
dari orang-orang yang tidak boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi masih relevan
dan boleh diterima. Kaitannya ? Baiklah kaitannya adalah, di bawah peruntukan
seksyen 32 (1) (a) menyatakan
32. (1) Pernyataan, bertulis atau lisan,
mengenai fakta berkaitan yang dibuat oleh seseorang yang sudah mati atau yang
tidak dapat ditemui, atau yang sudah menjadi tidak berupaya untuk
memberikan
keterangan, atau yang kehadirannya tidak dapat didapatkan tanpa kelengahan atau
perbelanjaan yang pada pendapat mahkamah tidak munasabah dalam hal keadaan kes
itu,
dengan sendirinya
fakta berkaitan dalam hal yang berikut:
(a) apabila pernyataan itu dibuat oleh
seseorang tentang sebab kematiannya, atau tentang apa-apa hal keadaan transaksi
yang telah mengakibatkan kematiannya, dalam hal yang dalamnya sebab kematian
orang itu dipersoalkan. Pernyataan sedemikian adalah berkaitan sama ada
pada masa pernyataan
itu dibuat orang yang membuatnya telah menjangkakan atau tidak
menjangka dia akan
mati, dan walau apa jua jenis prosiding yang dalamnya sebab kematiannya itu dipersoalkan;
Dalam seksyen 32 ini juga kenyataan dari orang-orang yang tidak boleh
dipanggil sebagai saksi, tetapi masih relevan dan boleh diterima bukan sahaja
tertumpu kepada orang yang telah mati tetapi juga kepada orang yang tidak boleh
dijumpai, orang yang tidak berupaya memberi keterangan dan orang yang dengan
kehadirannya akan boleh menyebabkan kelengahan ataupun memerlukan kos dan
perbelanjaan yang tinggi untuk membawa orang tersebut. Namun, jenis orang yang
tidak boleh memberikan keterangan yang sering berlaku adalah disebabkan
kematian dan isu inilah yang akan dibincangkan dalam posting saya, sementelah
kematian itu merupakan tema posting saya dalam blog ini J
Dalam kata
lain, keterangan dengar cakap yang dibuat oleh seseorang yang menjangkakan
kematiannya dan kemudian dia mati sebelum sempat memberikan keterangan tersebut
di mahkamah maka boleh menggunakan seksyen ini sebagai satu pengecualian kepada
keterangan dengar cakap yang boleh diterima sebagai salah satu keterangan yang
menyokong fakta kes di mahkamah. Hal ini kerana secara logiknya, bagaimana
orang yang telah mati boleh memberi keterangan di mahkamah bukan. Bagaimana pula
dengan keterangannya sebelum kematian ? Maka di sinilah doktrin ‘dying
declaration’ terpakai.
Seperti yang diketahui, keterangan dengar cakap secara semula jadinya adalah
suatu keterangan yang lemah. Oleh yang demikian, pengecualian sebegini antara
lain boleh memberi satu kekuatan kebolehterimaan keterangan dengar cakap ini
bagi menguatkan satu-satu kes dalam perbicaraan yang kekurangan bukti dan hanya
bergantung dengan keterangan dengar cakap sebagai satu bukti sokongan di mahkamah.
Seksyen 32 adalah terpakai untuk kes-kes jenayah dan juga sivil. Keterangan
orang-orang tidak boleh dipanggil dan sebagainya di bawah seksyen ini mestilah
dibuktikan dengan ketat. Jika syarat-syaratnya tidak dipenuhi maka keterangannya
tidak boleh diterima.
Umumnya, keterangan dengar cakap bukanlah satu keterangan yang baik kerana
diragui kesahihan dan ketulenannya. Keraguan terhadap keterangan dengar cakap
yang ingin dikemukakan di mahkamah mungkin akan direka cerita (concocted)
ataupun dipalsukan mahupun ianya direka mengikut kesesuaian saksi tersebut. Maka
adalah penting untuk keterangan dengar cakap tersebut memenuhi keperluan
pengecualian yang dinyatakan dalam seksyen 32 Akta Keterangan 1950. Seperti yang
dinyatakan oleh Hakim Seah mengenai hal ini dapat dilihat dalam kenyataannya
dalam kes Leong Hong Khie V PP dan Tan Gong Wai v PP [1986] 2MLJ 206 FC :
Peraturan umum keterangan dengar cakap tidak boleh diterima sebagai bukti
sesuatu fakta yang dinyatakan oleh orang ketiga. Peraturan ini telah lama
terbentuk sebagai prinsip asas dalam undang-undang keterangan dengan memetik kes
Teper V R [1952] AC 480 : “Peraturan penerimaan keterangan dengar cakap
mempunyai asas ianya bukan keterangan terbaik dan tidak boleh diterima dalam
keterangan dibuat secara bersumpah. Kebenaran dan ketepatan perkataaan dari
orang ketiga tersebut yang memberi keterangan tidak dapat diuji melalui
pemeriksaan balas dan demeanour(tingkahlaku) baik saksi tersebut memberi keterangan
akan hilang”
Hal ini kerana peraturan umum keterangan untuk menjadikannya satu keterangan
terbaik hendaklah memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam 60(1)(a) – (d)
dibaca bersama dengan seksen 3(a) iaitu keterangan lisan hendaklah secara terus
dan dibuat di bawah Akta Ikrar dan Sumpah. Keterangan tersebut mestilah :
i. Dibuat secara bersumpah.
ii. Ianya boleh disoal balas untuk menguji kebenaran sesuatu fakta yang
relevan.
Walaubagaimanapun, dalam hal keterangan dengar cakap bagi mereka yang
menjangkakan kematiannya adalah boleh diterima di mahkamah dengan memenuhi
peruntukan yang dinyatakan dalam seksyen 32 Akta Keterangan 1950. Oleh yang
demikian seksyen 32 perlulah dibaca dengan ketat seperti mana yang dinyatakan
oleh Hakim Augustine Paul dalam kes Allied Bank (M`sia ) Bhd v Yau Jiok Hua
(1998) 6 MLJ 1 (HC) ..... seksyen 32 hendaklah dibaca dengan ketat yang bermakna
ianya mestilah dibuktikan secara ketat untuk menjelaskan ketidak hadiran saksi. Beban untuk membuktikan keadaan tersebut adalah pada pihak yang ingin menggunakan
keterangan berkenaan... Oleh yang demikian, beban pembuktian tersebut terletak
kepada pihak yang ingin mengemukakan keterangan tersebut.
Seksen 32(a) adalah kenyataan dari seorang yang mati atau dikenali sebagai
pengistiharan kematian. Penerimaannya adalah berdasarkan kepada maxim Nemo
Moritur Praesumntur Mentiri yang bermaksud orang yang hampir mati tidak boleh
berbohong. Pengistiharan kematian adalah kenyataan dari orang yang telah mati
dan terjumlah kepada keterangan dengar cakap. Walau bagaimapun ia telah dibuat
pengecualian kepada dengar cakap atas alasan :
i. Satu keperluan oleh kerana tidak ada keterangan lain dan jika tidak
dibenarkan akan menggagalkan keadilan.
ii. Undang-undang telah membuat anggapan orang yang hampir mati tidak akan
berbohong. Perasaan menghadapi kematian adalah sama seperti keterangan yang
dibuat secara bersumpah.
Secara umumnya, pengistiharan kematian boleh dibuat kepada mana-mana anggota
polis, Magistrate atau orang persendirian. Tidak diambil kira kepada siapa
kenyataan dibuat. Ianya boleh dalam bentuk repot polis ( FIR –First Information
Report) atau rakaman kenyataan yang dibuat kepada polis. Penerimaan awal
kenyataan kematian diterima dalam kes bunuh atau bunuh tanpa sengaja dengan
syarat kenyataan itu dibuat dalam keadaan tidak ada harapan atau pasti akan
mati (settled or hopeless expectations of death) dan saksi yang memberi
keterangan apa yang dengar dari simati adalah merupakan saksi yang kompeten. Hal
ini kerana di bawah keperluan yang diperlukan pada Pengisytiharan Kematian
dalam undang-undang am seseorang yang disytiharkan kematiannya itu hendaklah :
a) Pasti tidak ada harapan untuk hidup (settled Hopeless Expection of Death) iaitu perasaan yang dipunyai bukanlah ketakutan akan mati tetapi keadaan suci hati
bahawa dia tidak lama lagi akan mati (Solemn conviction) dan tidak ada harapan
untuk sembuh. Fakta orang tersebut tidak mati selepas beberapa waktu tidak
memberi kesan kepada kebolehterimaan selagi ianya berlaku dalam kedekatan
(proximity) tertentu.
b) Pembicaraan kepada tertuduh dengan tuduhan bunuh atau bunuh tanpa sengaja
dan keterangan ini hanya terhad kepada pembunuhan sahaja. Dalam kes R V Mead, Hakim Abbot C.J. “ Keterangan sebegini hanya boleh diterima di mana kematian
simati adalah tuduhan yang dibuat dan keadaan kematian berlaku adalah perkara
pengisytiharan kematian. Kecuaian jenayah dengan menyebabkan kematian telah
diputuskan juga boleh diterima keterangan pengisytiharan kematian kerana
jenayah sebegini adalah juga terjumlah di bawah bunuh tidak sengaja.
c) Pengisytiharan kematian juga terhad kepada pengisytiharan kematian diri
seorang itu sendiri dan perkara dalam tuduhan yang dibicarakan.
Namun berbeza pemakaiannya di Malaysia, sekiranya orang yang membuat kenyataan
tersebut hidup maka kenyataan tersebut bukanlah pengisytiharan kematian. Hal
ini kerana di bawah akta keterangan di Malaysia kenyataan berkenaan boleh
dijadikan keterangan sokongan di bawah seksen 157.
Undang-undang umum pengisytiharan kematian adalah lebih ketat atau sempit pemakaiannya berbanding undang-udang yang terdapat di Malaysia. Di bawah undang-undang umum
pengisytiharan kematian adalah kenyataan dibuat oleh orang yang mati tentang
kematiannya atau keadaan yang menyebabkan dia mati. Di bawah undang-undang umum
ianya diterima dalam kes-kes jenayah bunuh dan bunuh tanpa sengaja.
Di bawah undang-undang umum pengisytiharan kematian hendaklah dibuat pada
hampir mati atau tidak ada harapan untuk hidup iaitu bahaya sebenar kematian
segera akan berlaku semasa kenyataan dibuat dan dengan penuh sedar kematian
akan berlaku. Dengan lain perkataan pengetahuan mengenai kematian telah pun ada
sebelum kematian berlaku.
Jika kenyataan dibuat sebelum hampir kematian berlaku , kedekatan (proximity)
kematian hendaklah ditunjukkan sebelum kenyataan dibuat. Ini bermakna selepas
kenyataan dibuat dan si mati meninggal selepas 2 -3 hari kemudian , kemungkinan
besar kenyataan tersebut tidak boleh diterima.
Jadi bagaimana pula pemakaiannya dalam undang-undang di Malaysia ? Semuanya
akan dijawab dalam posting saya yang seterusnya. Simpan snek anda ya, burger
bakar juga boleh dihidang bersama tatkala menyambung kisah pengisytiharan
kematian ini. Akhir kata, jangan lakukan jenayah dan selalu ingatkan kematian J
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 Response to "DYING DECLARATION sebagai satu doktrin pengecualian kepada KETERANGAN DENGAR CAKAP"
tulisan susah hendak dibaca. harap maklum
Mudah faham tapi susah nak baca..warna tu
Leave A Reply